Suasana persiapan ibadah korban di Kampung Tenang, Ulu Tiram bertukar tragedi apabila seorang lelaki maut selepas ditanduk seekor kerbau korban yang tiba-tiba mengamuk pada Rabu lalu.
Baca juga: “Kesian Kalau Bayi Kena” Budak Disyaki Chicken Pox Mandi Kolam Kanak-Kanak, Cetus Kebimbangan Ramai!
TRAGEDI BERASINGAN DI JOHOR BAHRU DITANDUK KERBAU KORBAN

Foto: Tiktok @yashop9108
Menurut anak saudara mangsa, kejadian berlaku sekitar jam 10 pagi ketika beberapa ahli keluarga sedang membuat persiapan ibadah korban.
Ketika kejadian, ada ahli keluarga yang sedang makan dan mencuci pinggan, manakala mangsa bersama beberapa individu lain sedang berusaha mengikat tali pada kerbau berkenaan.
Namun secara tiba-tiba, haiwan itu bertindak agresif sebelum berpusing dan menanduk paha mangsa dengan kuat.
“Seluar yang dipakai arwah koyak sampai ke bahagian atas. Darah memang terlalu banyak,” katanya
Akibat serangan tersebut, mangsa tercampak dan mengalami kecederaan serius pada bahagian paha.
Sempat Naik Ke Bahagian Belakang Kenderaan
Walaupun berada dalam keadaan parah, mangsa dikatakan masih menggagahkan diri berjalan menuju ke kenderaan pacuan empat roda yang berada berhampiran lokasi kejadian.
Mangsa kemudian naik ke bahagian but belakang sebelum terbaring dan dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Bagaimanapun, beliau disahkan meninggal dunia pada jam 11 malam di Hospital Sultanah Aminah (HSA) akibat kecederaan saluran darah (vaskular) kaki kiri.
Difahamkan, mangsa merupakan bapa kepada tiga orang anak dan bukan tukang sembelih, sebaliknya hanya membantu menguruskan persiapan ibadah korban bagi tujuh beradik keluarganya.
Dua Lagi Individu Cedera Diseret Kerbau Korban

Foto: Tiktok @yashop9108
Dalam insiden sama, dua lagi individu turut mengalami kecederaan selepas diseret haiwan berkenaan ketika keadaan menjadi tidak terkawal.
Kerbau tersebut juga dilaporkan masih belum disembelih sehingga kini kerana penduduk kampung masih terkejut dengan kejadian tragis itu.
Polis mengesahkan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan tiada unsur jenayah dikesan.
Seorang Lagi Cedera Dalam Kejadian Berasingan
Dalam kejadian berasingan, melibatkan kerbau mengamuk turut dilaporkan berlaku pada hari sama sekitar jam 2 petang di Batu 19, Kampung Sungai Tiram.
Menurut Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak, seorang lelaki tempatan berusia 45 tahun cedera selepas ditanduk kerbau yang dipercayai tiba-tiba bertindak liar.
Mangsa dilaporkan mengalami patah tulang rusuk kiri dan kini menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail (HSI).
Pihak polis memaklumkan semua insiden telah dirujuk kepada Jabatan Veterinar Negeri Johor untuk tindakan susulan dan orang ramai dinasihatkan agar tidak menyebarkan maklumat tidak sahih berhubung kejadian berkenaan.
Baca juga: Ramai Baru Tahu, Ada Amalan Lama Makan Daging Korban Sebagai Ikhtiar Gangguan Sihir… Ini Caranya!
Sumber: Harian Metro / Buletin TV3
FT Images: Tiktok @yashop9108
