Jika anda perasan, setiap kali melihat kebanyakan orang Arab mesti mereka akan memakai kain bercorak hitam putih yang dipanggil kain Keffiyeh di leher atau di kepala.
Malah, hampir semua sukarelawan Global Sumud Flotilla turut mengenakan kain keffiyeh bukan sekadar aksesori fesyen namun hakikatnya, setiap helaian dan lipatan kain ini membawa makna mendalam yang berkait rapat dengan sejarah, identiti, dan perjuangan sebuah bangsa.
Asal Usul Kain Keffiyeh, Jadi Identiti Palestin Yang Ditenun Sendiri

Keffiyeh merupakan kain tradisional Arab yang telah digunakan sejak ribuan tahun dahulu. Ia berfungsi melindungi pemakainya daripada panas terik matahari, tiupan angin kering, dan debu padang pasir. Lama-kelamaan, kain ini bukan sekadar perlindungan fizikal tetapi berkembang menjadi simbol budaya dan maruah bagi masyarakat Timur Tengah.
Corak merah-putih biasanya dikaitkan dengan Jordan dan negara-negara Teluk. Namun, corak hitam-putih pula menjadi ikonik di seluruh dunia apabila Yasser Arafat, pemimpin agung Palestin, mula memakainya sebagai tanda perjuangan pada tahun 1960-an.
Sejak itu, keffiyeh hitam-putih tidak lagi dianggap sekadar kain dan ia menjadi simbol solidariti global terhadap Palestin, ‘bendera tanpa tiang’ yang menyatukan manusia dari pelbagai bangsa dan agama.
Keffiyeh, Fabrik Yang Bercerita

Foto: freepik
Untuk pengetahuan anda, setiap corak pada keffiyeh mempunyai maksud tersendiri. Ia bukan direka secara rawak, tetapi ditenun dengan makna sejarah dan budaya yang mendalam.
1. Corak Jala Nelayan
Bayangkan jala yang terbentang di laut Mediterranean, itulah inspirasi bagi corak jala pada keffiyeh. Ia melambangkan kehidupan para nelayan Palestin yang mencari rezeki dari laut yang sama sejak berzaman. Dari jala itu mereka memberi makan keluarga, dari laut itu juga lahir harapan untuk hari esok.
2. Garisan Tebal
Garisan hitam yang panjang dan lurus di keffiyeh menggambarkan jalan-jalan yang dilalui para pedagang dan pelarian. Ia menjadi simbol perjalanan hidup yang penuh ujian walaupun dihalau, walaupun terpisah, jalan untuk pulang sentiasa ada.
3. Daun Zaitun
Corak daun zaitun yang halus dan berulang di keffiyeh bukan sekadar hiasan. Ia melambangkan pokok zaitun, tumbuhan suci yang akarnya mencengkam kuat ke bumi Palestin. Walau ditebang atau dibakar, pokok ini akan tumbuh semula seperti rakyat Palestin, yang tidak pernah hilang semangat walaupun cuba dipadam dari peta dunia.
Memakai kefiyyeh ini menjadi tanda sokongan terhadap keadilan, kemanusiaan, dan kebebasan. Setiap kali ia dililit di leher atau kepala, ia membawa bersama kisah tanah, laut, dan perjuangan yang tidak pernah padam. Pastikan anda beli yang original ditenun di Palestin ya!
Baca juga:
Sumber: Public Health Malaysia, Spindle
