Euforia Bola 2026
Inspirasi

“Tak Akan Pernah Serik”- Latar Belakang Dr Fauziah Wajar Digelar Srikandi Negara, Anak Jati Terengganu Pejuang G*za!

Dr Fauziah Mohd Hassan

“Saya tidak akan pernah serik demi Gaza. Semoga Allah reda usaha kecil ini.” Itulah kata-kata penuh makna daripada Dr Fauziah Mohd Hasan, salah seorang daripada sembilan delegasi Malaysia yang kini berlayar dalam gelombang ketiga flotilla kemanusiaan menuju ke Gaza.

Siapa sangka, selepas sembilan tahun, wanita berhati waja ini kembali mengharungi lautan, membawa harapan dan bantuan buat rakyat Palestin yang terus berjuang di tanah air mereka yang bergolak!

Baca juga: TERBONGKAR! Penemuan Dokumen Lama Kerajaan, Pasport Usia 80 Tahun Buktikan Palest*n Wujud Sebelum 1948

DR FAUZIAH MOHD HASAN SRIKANDI NEGARA, TIDAK PERNAH SERIK BERJUANG DEMI GAZA

dr fauziah hasan

Foto: Dr.Fauziah (kanan)

Nama Dr Fauziah bukan asing dalam dunia kemanusiaan antarabangsa. Pada usia 68 tahun, Dr Fauziah membuktikan bahawa perjuangan kemanusiaan tidak mengenal usia mahupun batas tenaga. Beliau menjadi lambang keberanian dan ketabahan wanita Malaysia yang sanggup berdiri di barisan hadapan demi insan lain.

Dr Fauziah kini berkhidmat sebagai Pakar Obstetrik dan Ginekologi di KPJ Ampang Puteri Specialist Hospital sejak tahun 1997, dengan pengalaman lebih 40 tahun dalam bidang perubatan.

Namun, di sebalik profesionnya sebagai doktor, terselit jiwa besar seorang pejuang yang pernah menghadapi pelbagai ujian di medan misi bantuan.

1. Wanita Malaysia Pertama Belayar ke Gaza

Pada tahun 2016, Dr Fauziah mencipta sejarah apabila menjadi wanita Malaysia pertama menyertai misi “Women’s Boat to Gaza”.
Namun pelayaran itu tidak semudah disangka. Kapal Zaytouna Olivia yang dinaikinya bersama 12 aktivis lain dipintas dan ditahan oleh tentera Israel ketika menghampiri perairan Gaza. Mereka ditahan selama 42 jam sebelum akhirnya dibebaskan.

Pengalaman getir itu tidak mematahkan semangatnya, malah menjadi sumber ilham untuk beliau menulis buku “35 Batu Nautika”, yang merakam detik-detik penahanan tersebut.

2. Aktif dalam Dunia Kemanusiaan

Selain misi Gaza, Dr Fauziah juga pernah menyertai pelbagai misi kemanusiaan lain termasuk di Kosovo (1999), Maluku Indonesia (2000), Afghanistan (2001–2003), Aceh (2005), Pakistan (2005) dan Gaza (2009).

Beliau pernah berkhidmat sebagai Bendahari MERCY Malaysia (2000–2006) serta kini merupakan Ahli Majlis Lembaga Pemegang Amanah MyCARE dan Penasihat Rose2Rose (R2R) — sebuah agensi di bawah MyCARE yang memperjuangkan hak wanita dan kanak-kanak.

3. Asal Usul dan Latar Akademik

Anak kelahiran Kuala Terengganu ini merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan daripada University of Tasmania, Australia serta Fellow Royal College of Obstetrics and Gynaecology (United Kingdom) sejak tahun 2003.

Beliau berkahwin dengan Prof Emeritus Dr Mohd Alauddin Mohd Ali, yang turut menyertai pelayaran flotilla kali ini dengan kapal Conscience. Antara penghargaan yang pernah diterima Dr Fauziah termasuk:

  • Tokoh Aktivis Palestin Antarabangsa (2014)
  • Anugerah Khaulah Al-Azwar (2016) daripada Kerajaan Terengganu
  • Tokoh NGO Islam (Kategori Wanita) (2017)

Kembali ke Laut Demi Gaza

dr fauziah hasan

Flotilla kemanusiaan gelombang ketiga ini berlepas secara berperingkat bermula 30 September 2025, membawa 100 peserta antarabangsa termasuk wartawan, ahli Parlimen, pakar perubatan dan aktivis dari seluruh dunia. Kini, mereka berada di dalam Zon Kuning perairan laut menghampiri Gaza.

Misi ini digerakkan di bawah gabungan Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan Thousand Madleens to Gaza (TMTG), satu usaha besar untuk menghantar bantuan serta menarik perhatian dunia terhadap krisis kemanusiaan di Gaza. Bagi Dr Fauziah, perjalanan kali ini lebih bermakna.

“Pada 2016, saya satu-satunya peserta flotilla dari Malaysia ke Gaza. Tahun ini amat istimewa kerana sahabat dan insan yang mengizinkan saya ke flotilla sembilan tahun lalu ada di sisi,” ujarnya penuh syukur.

Dalam setiap langkahnya, Dr Fauziah membuktikan bahawa keberanian, keikhlasan, dan keimanan mampu menggerakkan sesuatu yang besar dan memberi inspirasi kepada orang ramai. Beliau bukan sekadar seorang doktor tetapi seorang wanita luar biasa yang menjadi inspirasi buat rakyat Malaysia untuk terus peduli terhadap perjuangan kemanusiaan global.

@drfauziah.hasanSaya, Fauziah Hasan yang pernah diculik semasa flotilla 2016 di perairan antarabangsa, dimasukkan ke penjara Issewel, dan kini berlayar semula ke G. Mohon doa semua dan follow akaun tiktok saya.♬ original sound – Dr Fauziah Hasan

Baca juga: “Saya Dilahirkan Semula”- Aktivis Itali Cerita Detik Peluk Islam Dalam Tahanan Lepas Lihat Rakan Dihalang Solat

Sumber: Tiktok @drfauziah.hasan, Sinar Bestari

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×