Sejak kebelakangan ini, Malaysia berdepan cuaca panas dan kering yang dijangka berlarutan sehingga Ogos. Keadaan ini bukan sahaja menyebabkan badan cepat berpeluh, malah boleh mengganggu rutin harian apabila seseorang mudah berasa letih, lesu dan kurang bertenaga.
Cuaca panas yang berpanjangan juga meningkatkan risiko dehidrasi, terutamanya jika pengambilan air tidak mencukupi atau gaya hidup harian melibatkan aktiviti luar yang aktif.
Baca juga: Lega! KPM Longgarkan Peraturan, Murid Sekolah Boleh Pakai Pakaian Sukan Hadapi Cuaca Panas
10 MAKANAN BANTU SEJUKKAN BADAN KETIKA CUACA PANAS
Selain memastikan pengambilan air mencukupi, pemilihan makanan harian juga memainkan peranan penting dalam membantu menyejukkan badan.
Ada jenis makanan tertentu yang bukan sahaja menyegarkan, malah membantu mengekalkan hidrasi serta menyokong fungsi tubuh dengan lebih baik ketika cuaca panas.
Berikut merupakan 10 makanan yang boleh boleh diamalkan untuk kekal segar dan bertenaga sepanjang hari
1. Pisang Bagus Dijadikan Snek Ketika Cuaca Panas

Foto: Freepik
Pisang bukan sahaja mudah didapati, malah kaya dengan kalium yang membantu menyeimbangkan kandungan air dalam badan. Nutrien ini penting untuk mengelakkan dehidrasi, terutamanya ketika cuaca panas.
Selain itu, teksturnya yang lembut dan mengenyangkan menjadikannya pilihan snek yang praktikal. Untuk rasa lebih segar, cuba simpan di dalam peti sejuk sebelum dimakan, memang lega tekak!
2. Avokado

Foto: Freepik
Walaupun berlemak, avokado mengandungi lemak sihat yang membantu tubuh menyesuaikan suhu dengan lebih stabil. Ia juga memberi rasa kenyang lebih lama tanpa membuatkan badan ‘berat’ seperti makanan bergoreng.
Jika tidak gemar makan begitu sahaja, boleh dijadikan smoothie bersama madu atau susu, lebih berkrim dan menyegarkan.
3. Timun

Foto: Freepik
Timun terkenal sebagai makanan ‘penyejuk semula jadi’ kerana kandungan airnya yang sangat tinggi. Selain membantu hidrasi, ia juga memberi kesan menyegarkan serta membantu sistem penghadaman berfungsi dengan lebih lancar.
Mudah sahaja, jadikan sebagai ulam, atau campuran salad.
4. Air Kelapa Sesuai Diminum Ketika Cuaca Panas

Foto: Freepik
Air kelapa sering menjadi pilihan ketika cuaca panas kerana sifatnya yang menyegarkan serta kaya elektrolit semula jadi. Ia membantu menggantikan cecair badan yang hilang akibat berpeluh.
Bukan itu sahaja, kelapa juga mempunyai kesan anti-radang dan baik untuk menstabilkan tekanan darah.
5. Kacang Soya

Foto: Freepik
Berbanding sumber protein lain seperti daging merah yang boleh meningkatkan haba badan, kacang soya merupakan alternatif yang lebih ringan.
Produk seperti tauhu dan edamame bukan sahaja tinggi protein, malah mudah dihadam dan membantu mengekalkan keseimbangan suhu badan.
6. Buah Beri

Foto: Freepik
Buah beri seperti strawberi, beri biru dan beri hitam mengandungi banyak air serta antioksidan. Ia membantu melindungi badan daripada kesan radikal bebas, termasuk pendedahan berlebihan kepada cahaya matahari.
Rasanya yang sedikit masam-manis juga menjadikannya pilihan snek yang menyegarkan.
7. Tembikai Sesuai Dimakan Ketika Cuaca Panas

Foto: Freepik
Tembikai merupakan antara buah paling popular ketika cuaca panas kerana kandungan airnya mencecah kira-kira 90%. Ia bukan sahaja membantu menyejukkan badan, malah memberi rasa kenyang tanpa membebankan sistem penghadaman.
Sesuai dimakan begitu sahaja atau dijadikan jus tembikai.
8. Yogurt

Foto: Freepik
Yogurt mempunyai kesan penyejukan semula jadi serta mengandungi probiotik yang baik untuk kesihatan usus. Ia membantu sistem penghadaman kekal seimbang walaupun dalam keadaan cuaca panas.
Untuk variasi, tambah buah-buahan segar atau sedikit madu bagi rasa lebih enak.
9. Biji Rami (Flaxseed)

Foto: Freepik
Biji rami mungkin kecil, tetapi kaya dengan nutrien seperti serat, protein dan asid lemak omega-3. Ia membantu mengekalkan keseimbangan dalaman badan serta menyokong fungsi metabolisme. Biji rami ini boleh ditabur ke dalam yogurt, oat atau smoothie untuk manfaat tambahan.
10. Sayur Berdaun Hijau

Foto: Freepik
Sayur seperti bayam dan salad bukan sahaja ringan, malah mengandungi air dan serat yang tinggi. Ia membantu badan kekal sejuk serta mudah dihadam, menjadikannya sesuai untuk hidangan ketika cuaca panas.
Tambahkan dalam menu harian seperti salad atau sandwich untuk pilihan lebih sihat.
Secara keseluruhannya, pengambilan makanan yang tinggi kandungan air dan nutrisi bukan sahaja membantu menyejukkan badan, malah penting untuk mengekalkan kesihatan ketika cuaca panas.
Dalam masa yang sama, elakkan makanan tinggi gula dan garam kerana ia boleh menyebabkan dehidrasi. Amalan seperti merokok dan pengambilan alkohol juga wajar dikurangkan kerana memberi kesan buruk kepada keseimbangan air dalam badan.
Dengan pemilihan makanan yang tepat, anda bukan sahaja dapat mengurangkan rasa panas pada badan, malah kekal segar dan bertenaga sepanjang hari
Baca juga: Bersedia Hadapi Cuaca Panas Melampau, Malaysia Bakal Dilanda El-Nino Terpanas Dalam Sejarah!
Sumber: Relevan
FT Images: Gemini AI
