Ramai menyangka diabetes jenis 2 hanya menyerang golongan dewasa atau warga emas. Namun, situasi kini semakin membimbangkan apabila penyakit itu mula dikesan dalam kalangan remaja seawal usia 14 tahun.
DIABETES JENIS 2 KINI DIKESAN SEAWAL USIA 14 TAHUN

Foto: Magnific
Perkembangan ini menunjukkan penyakit tidak berjangkit (NCD) semakin menular dalam kalangan golongan muda, sekali gus menjadi amaran bahawa gaya hidup dan pemakanan tidak sihat boleh memberi kesan serius pada usia yang lebih awal.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, berdasarkan data Daftar Diabetes Kebangsaan (NDR), jumlah kes baharu diabetes jenis 2 dalam kalangan belia terus menunjukkan trend yang membimbangkan.
Sebanyak 1,926 kes baharu direkodkan pada tahun 2024 sebelum meningkat kepada 1,932 kes pada 2025. Bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini sehingga Jun 2026 pula, sebanyak 660 kes baharu telah direkodkan.
Menurut beliau, perkembangan itu membuktikan bahawa diabetes jenis 2 bukan lagi penyakit yang hanya menyerang golongan dewasa, malah kini semakin banyak dikesan dalam kalangan individu berusia bawah 30 tahun.
“Kini, kita melihat individu didiagnosis dengan diabetes jenis 2 pada usia yang lebih muda seawal 14 tahun,” katanya.
Ramai Belia Tidak Sedar Sudah Berisiko Diabetes Jenis 2

Foto: Gemini AI
Beliau turut menjelaskan bahawa ramai golongan muda sebenarnya mempunyai faktor risiko penyakit tidak berjangkit tanpa mereka sedari.
Menerusi Inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan (NHSI) 2025, seramai 347,813 individu berusia 18 hingga 30 tahun telah menjalani saringan kesihatan.
Daripada jumlah tersebut:
- 11,751 orang (3.4%) didapati mempunyai paras glukosa darah yang tinggi.
- 30,170 orang (8.8%) pula mempunyai bacaan tekanan darah tinggi.
- Menariknya, 98.1% peserta tidak mempunyai sejarah penyakit tidak berjangkit (NCD) sebelum menjalani saringan.
Keputusan ini menunjukkan ramai individu muda tidak menyedari mereka sudah berada dalam kumpulan berisiko.
KKM Fokus Kepada Pencegahan, Bukan Sekadar Rawatan
Bagi menangani peningkatan kes diabetes dan penyakit tidak berjangkit, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kini memberi tumpuan kepada pendekatan penjagaan kesihatan pencegahan berbanding hanya merawat penyakit.
Antara usaha yang diperkukuhkan termasuk:
- Pengesanan awal melalui saringan kesihatan.
- Intervensi perubahan gaya hidup.
- Pendidikan kesihatan kepada masyarakat.
Pendekatan ini bertujuan membantu rakyat mengesan risiko lebih awal sebelum penyakit menjadi lebih serius.
Cukai Gula Beri Kesan Positif
Dalam pada itu, beliau berkata cukai minuman bergula (SSB) yang diperkenalkan sejak 1 Julai 2019 turut menunjukkan kesan positif terhadap tabiat pengambilan gula rakyat.
Kadar pengambilan minuman bergula dalam kalangan remaja dilaporkan menurun daripada 36.9% kepada 16.4%.
Selain itu, Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2022 turut menunjukkan prevalens pengambilan minuman berkarbonat sekurang-kurangnya sekali sehari menurun daripada 36.9% pada 2019 kepada 32.4% pada 2022.
Seiring keberkesanan tersebut, kadar cukai minuman bergula telah dinaikkan secara berperingkat dan kini berada pada RM0.90 seliter bermula 1 Januari 2025.
Pelbagai Inisiatif Kurangkan Pengambilan Gula
Bagi mengurangkan pengambilan gula dalam kalangan rakyat, KKM turut melaksanakan Pelan Strategik Mengurangkan Gula Dalam Kalangan Rakyat Malaysia 2024–2030.
Antara inisiatif yang diperkenalkan ialah:
- KiBaR (Kira, Bakar, Rekod)
- Logo Pilihan Lebih Sihat (HCL)
- Sistem pelabelan Nutri-Grade
- Program Makan Secara Sihat (HDP) di premis makanan
Usaha ini bertujuan membantu rakyat membuat pilihan makanan yang lebih sihat serta mengurangkan risiko penyakit seperti diabetes, obesiti dan tekanan darah tinggi sejak usia muda.
Sumber: Bernama
