Euforia Bola 2026
Famili

Hadiah Raya Paling ‘Wow’! Mak Belanja Barang Kemas Untuk 8 Anak, Buat Ramai Terpegun

barang kemas

Aidilfitri bukan sekadar perayaan kemenangan selepas sebulan berpuasa, tetapi juga menjadi medan untuk menzahirkan kasih sayang dan mengeratkan hubungan kekeluargaan. Itulah yang dizahirkan oleh seorang warga emas dari Felda Papan Timur, Kota Tinggi, Johor apabila menghadiahkan barang kemas miliknya kepada lapan orang anak sebagai simbol kasih sayang yang tidak ternilai.

Baca juga: Cara Kilatkan Barang Kemas Guna Air Serbuk Teh, Puas Hati Tengok Warna Tak Kusam!

MAK HADIAHKAN BARANG KEMAS KEPADA 8 ORANG ANAK SEMPENA AIDILFITRI

barang kemas

Foto: Tiktok @suzenramlan

Perkongsian menyentuh hati itu diceritakan oleh anak kelimanya, Suzana Ramlan, 47, yang memaklumkan idea asal tercetus daripada perbincangan adik-beradik untuk mengadakan aktiviti tukar hadiah sempena Aidilfitri.

Namun, perancangan tersebut bertukar menjadi lebih bermakna apabila ibu mereka, Ainon Kosnan, 71, secara spontan menyuarakan hasrat untuk mengagihkan barang kemas miliknya kepada semua anak.

Menurut Suzana, ibunya sudah lama berniat untuk memberikan barang kemas tersebut kerana tidak lagi memakainya, selain mengambil kira faktor kesihatan yang semakin merosot.

Pada malam raya pertama, ibunya memasukkan kesemua barang kemas ke dalam sampul surat sebelum anak-anak membuat cabutan nombor seperti cabutan bertuah.

Momen penuh emosi itu dirakam sekadar sebagai kenangan keluarga, namun tidak disangka menjadi tular selepas dikongsikan di media sosial.

Video tersebut meraih ratusan ribu tontonan serta ribuan tanda suka, selain dihujani doa daripada orang ramai yang tersentuh dengan keikhlasan seorang ibu. Suzana turut berkongsi bahawa nilai keseluruhan barang kemas yang diagihkan dianggarkan mencecah ratusan ribu ringgit.

Walaupun tidak mendedahkan jumlah sebenar, beliau menegaskan bahawa pembahagian dibuat secara adil, malah ibunya sanggup membeli dua gelang tambahan bagi memastikan kesemua lapan anak menerima bahagian yang seimbang.

Sepakat Tak Jual, Simpan Sebagai Kenangan Kasih Ibu

barang kemas

Foto: Tiktok @suzenramlan

Lebih menyentuh hati, kesemua adik-beradik sepakat untuk tidak menjual barang kemas tersebut kerana nilai sentimentalnya yang tinggi.

Bagi mereka, hadiah itu bukan sekadar emas, tetapi lambang kasih sayang dan kenangan yang akan disimpan sepanjang hayat.

Dalam pada itu, Suzana memaklumkan keadaan kesihatan ibunya yang kini berkerusi roda selepas mengalami kecederaan akibat terjatuh.

Walaupun pernah menjalani pembedahan dan masih mampu berjalan, keadaannya tidak lagi sekuat dahulu. Kini, adik bongsu mereka mengambil tanggungjawab menjaga ibu sepenuhnya di kampung.

Kisah ini jelas menggambarkan bahawa nilai kasih sayang dalam keluarga tidak dapat diukur dengan harta semata-mata.

Sebaliknya, keikhlasan, pengorbanan dan kenangan yang dicipta bersama itulah yang menjadi harta paling berharga.

@suzenramlan1 syawal tahun ini amat berbeza dgn tahun sebelum2 ini… Kami tak sangka mak buat kejutan utk kami 8 beradik… Alhamdulillah kami dpt berkumpul semua pada malam raya pertama. Mak hadiahkan barang kemasnya buat kami.. Allahuakbar.. tak terucap dengan kata2…Kami selayaknya tidak layak menerima kerana jasa dan pengorbanan beliau tak terbalas lagi… Ya Allah berilah kesihatan buat mak dan bapak kami…Semoga sentiasa dalam lindunganmu🤲🏻🫶🏻😍♬ original sound – encikamat811

Baca juga: 5 Jenama Emas Terbaik & Dipercayai Di Malaysia Untuk Simpanan Jangka Panjang, Berbaloi Beli!

Sumber: Tiktok @suzenramlan  dan Sinar Harian

FT Images: Tiktok @suzenramlan 

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×