Perkongsian mengenai kisah lafaz cerai oleh seorang peguam syarie ini membuatkan ramai meremang selepas kejadian yang berlaku kepada kliennya dikatakan terjadi hanya beberapa minit selepas satu sumpah dibuat. Apa yang berlaku di luar mahkamah itu turut dijadikan pengajaran agar orang ramai tidak sewenang-wenangnya bermain dengan sumpah.
LELAKI NAFI LAFAZ CERAI, DILANGGAR SELANG BEBERAPA MINIT SELEPAS BERSUMPAH DI MAHKAMAH

Gambar hiasan: Gemini AI
Menerusi perkongsian di Threads oleh peguam syarie dikenali sebagai Iezwan Ielias, beliau berkongsi kisah melibatkan pasangan suami isteri yang sedang melalui proses pengesahan lafaz cerai di mahkamah.
Menurutnya, si isteri bertindak memfailkan pengesahan lafaz cerai selepas mendakwa suaminya beberapa kali mengeluarkan lafaz taklik, lafaz cerai dan lafaz cerai kinayah ketika berlaku pertengkaran antara mereka.
Difahamkan, pertelingkahan tersebut tercetus apabila si isteri mempersoalkan tindakan suaminya yang didakwa menghantar mesej tidak elok kepada beberapa wanita lain.
Suami beberapa kali gagal hadir ke mahkamah
Menurut peguam tersebut, pada tarikh pertama sebutan kes di mahkamah, pihak defendan dikatakan sengaja tidak hadir dengan alasan mempunyai urusan lain.
Mahkamah bagaimanapun masih memberikan peluang memandangkan saman dan penyata tuntutan baru diserahkan sehari sebelum tarikh sebutan berlangsung.
Namun pada tarikh kedua, defendan sekali lagi gagal hadir dan dikatakan enggan memberikan kerjasama kepada pihak mahkamah.
“Kali ini dia cakap tak akan bagi kerjasama dan lantaklah apa nak jadi dekat mahkamah,” kongsi peguam itu.
Disebabkan kegagalan hadir kali kedua tersebut, mahkamah kemudian mengeluarkan notis amaran dan mengarahkan defendan hadir pada tarikh ketiga.

Gambar hiasan: Gemini AI
Bersumpah berkali-kali tidak pernah lafaz cerai
Menurut perkongsian itu lagi, pada tarikh ketiga mahkamah, pihak plaintif dikatakan merayu-rayu supaya suaminya hadir agar isu pengesahan lafaz cerai dapat diselesaikan dengan baik.
Ketika itulah defendan didakwa mula bersumpah berkali-kali atas nama maknya dan anak-anaknya bahawa dia tidak pernah melafazkan cerai seperti yang didakwa isterinya. Defendan sebut,
“Kalau aku tipu kamu (Plaintif), aku keluar ini (naik motor) aku kena langgar dengan kereta. Aku sungguh sungguh SUMPAH memang aku tak lafaz,” kongsinya lagi.
Perkongsian tersebut membuatkan ramai warga maya merasakan situasi itu cukup menyeramkan memandangkan apa yang berlaku selepas itu berlaku dalam tempoh yang sangat singkat.
Kemalangan selang beberapa minit selepas bersumpah
Peguam berkenaan mendakwa, kira-kira 10 minit selepas lelaki itu keluar dari mahkamah menaiki motosikal, dia telah dirempuh sebuah kereta dari arah belakang.
Plaintif kemudian memaklumkan bahawa defendan berada dalam keadaan kritikal di sebuah hospital kerajaan. Difahamkan, lelaki tersebut mengalami tiga tulang rusuk patah, paru-paru bocor serta pendarahan serius di bahagian kepala.
“Masih tak sedarkan diri sampai sekarang. Dan kejadian itu berlaku hari ini (5 hari lalu).
“Allahuakbar, benda yang biasa kita dengar dan momokkan betul-betul jadi pada klien aku,” tulisnya lagi.
Perkongsian tersebut turut dijadikan peringatan kepada orang ramai agar tidak bermain dengan sumpah, lebih-lebih lagi dalam perkara besar melibatkan rumah tangga dan hukum agama.
“Jangan sesekali main dengan sumpah. Merana,” pesan peguam itu.
Sumber: Threads @iezwanielias
FT Image: Gemini AI
