Suasana pagi Aidiladha yang sepatutnya diraikan dengan penuh kegembiraan bertukar menjadi tragedi apabila seorang wanita maut selepas motosikal yang dinaikinya bersama suami terlibat dalam kemalangan di Kilometer 29.4 Jalan Lama Kota Bharu-Kuala Krai berhampiran Pekan Pulai Chondong, Machang, pagi semalam
Baca juga: Kuda, Unta & Arnab Halal, Tapi Kenapa Tak Boleh Dijadikan Haiwan Korban? Ini Penjelasan Mufti
WANITA MAUT DALAM KEMALANGAN SELEPAS SOLAT AIDILADHA

Foto: Utusan
Kejadian menyayat hati itu berlaku kira-kira jam 8.30 pagi ketika pasangan berkenaan dipercayai sedang dalam perjalanan pulang selepas selesai menunaikan solat sunat Aidiladha di masjid.
Mangsa dikenali sebagai Yusnita Yusuf, 47, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah yang dialami selepas motosikal dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta jenis Perodua Viva.
Menurut Ketua Polis Daerah Machang, Azuhar Md Nor, motosikal yang dinaiki pasangan suami isteri itu bergerak dari arah Kota Bharu menghala ke Kuala Krai sebelum kemalangan berlaku.
“Akibat kemalangan itu, pembonceng motosikal iaitu seorang wanita berusia 47 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya

Foto: Kosmo
Dalam pada itu, suami mangsa yang berusia 44 tahun dilaporkan mengalami kecederaan parah dan kini sedang menerima rawatan di Zon Merah Unit Kecemasan Hospital Machang.
Keadaan mangsa lelaki itu bagaimanapun masih belum diketahui setakat ini.
Sementara itu, pemandu dan penumpang kereta Perodua Viva terbabit dilaporkan selamat serta tidak mengalami sebarang kecederaan.
Pihak polis kini sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan tersebut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau berbahaya sehingga menyebabkan kematian.
Aidiladha bertukar tragedi
Insiden tersebut turut mengundang rasa sedih dalam kalangan penduduk setempat apatah lagi ia berlaku pada pagi Aidiladha, ketika umat Islam baru selesai menunaikan solat sunat dan berkumpul bersama keluarga.
Di media sosial, ramai netizen menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan mendoakan agar suami arwah diberikan kesembuhan segera.
Tidak kurang juga yang mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati di jalan raya terutama ketika musim perayaan kerana keadaan jalan yang lebih sibuk berbanding hari biasa.
Sumber: Bernama
