Euforia Bola 2026
Didik

Kurikulum Subjek Sejarah Baharu Bermula Tahun Depan, Libatkan Murid Tahun 5 & 6 Dahulu

subjek sejarah

Bermula tahun depan, murid Tahun Satu dan Tingkatan Satu bakal mengikuti kurikulum baharu bagi subjek Sejarah. Perubahan ini diumumkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebagai sebahagian daripada usaha menyemak dan memperkukuh kandungan pembelajaran agar terus relevan dengan perkembangan semasa.

Baca juga: Buku Teks Sekolah Koyak Sebenarnya Boleh Tukar, Tapi Sikap Mak Ayah Suka Viralkan Dulu Buat Guru Penat!

KURIKULUM BAHARU SUBJEK SEJARAH TINGKATAN 1 & TAHUN 1 TAHUN DEPAN

subjek sejarah

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh, memaklumkan bahawa pelaksanaan kurikulum baharu ini akan dibuat secara berperingkat. Untuk fasa pertama, ia hanya membabitkan murid yang baru melangkah ke Tahun Satu dan Tingkatan Satu.

Seterusnya pada tahun 2028, pelaksanaan akan diperluaskan kepada murid Tahun Dua dan Tingkatan Dua.

Menurut beliau, setiap kurikulum yang diguna pakai mempunyai tempoh tertentu sebelum dinilai semula. Apabila tiba masanya, KPM akan memperkenalkan penambahbaikan atau kurikulum baharu bagi memastikan sistem pendidikan negara sentiasa bergerak seiring perubahan zaman.

Mengulas lanjut, Wong menjelaskan bahawa semakan kurikulum tidak dilakukan secara sewenang-wenangnya. Ia hanya dibuat sekiranya terdapat keperluan yang jelas, dan mesti selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara.

Dalam masa sama, kandungan pembelajaran juga perlu mengambil kira keseimbangan pelbagai aspek supaya ia tidak berat sebelah atau mengabaikan segmen penting dalam pembentukan sahsiah pelajar.

Isu Politik Kepartian Dalam Silibus Sejarah, KPM Tegaskan Bebas Pengaruh

subjek sejarah

Dalam sesi sama di Dewan Rakyat, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, turut membangkitkan kebimbangan berhubung kemungkinan unsur politik kepartian dimasukkan dalam silibus Sejarah.

Beliau menegaskan bahawa pendekatan berhati-hati amat penting agar kandungan sejarah tidak “diwarnai” oleh kepentingan parti tertentu. Menurutnya, jika elemen politik kepartian diselitkan, walaupun dengan niat yang baik, ia boleh menimbulkan rasa kurang selesa dalam kalangan ibu bapa dan masyarakat.

Sebaliknya, perkara yang menyentuh kepentingan bersama seperti Rukun Negara atau nilai perpaduan rakyat lebih mudah diterima dan tidak menimbulkan polemik.

Menjawab kebimbangan tersebut, Wong menegaskan bahawa pendirian KPM jelas — kandungan mata pelajaran Sejarah mesti kekal relevan, seimbang dan bebas daripada pengaruh politik kepartian.

Menurut beliau, kementerian komited memastikan subjek Sejarah terus berfungsi sebagai medium pembentukan jati diri, semangat kenegaraan dan kefahaman yang tepat terhadap perjalanan negara, tanpa condong kepada mana-mana parti.

Perubahan kurikulum ini dilihat sebagai langkah penting dalam memastikan generasi muda memahami sejarah negara secara objektif, menyeluruh dan berteraskan nilai perpaduan.

Apa pandangan anda tentang pelaksanaan kurikulum Sejarah baharu ini? Adakah ia mampu memperkukuh kefahaman anak-anak tentang identiti dan sejarah Malaysia?

Baca juga: Bangga! UTP, UM & UKM Tersenarai Top 250 Universiti Terbaik Dunia Versi Times Higher Education 2026

Sumber: Berita Harian

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×