Seiring dengan perubahan zaman, sistem pendidikan juga tidak boleh kekal statik dan kurikulum sekolah perlu digubal semula agar terus relevan dan sesuai dengan keperluan semasa. Terbaharu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengumumkan belajar bahasa isyarat kepada sekolah rendah!
Ini merupakan kurikulum sekolah rendah yang diberikan ‘nafas baharu’ pada tahun 2027 nanti dan berikut merupakan informasi lanjut buat ibu bapa.
Baca juga: “Bahagi, Darab Pun Tak Reti..”- Salah Besar Mansuhkan UPSR & PT3, Guru Dedah Pendidikan Makin Lemah!
BELAJAR BAHASA ISYARAT TERMASUK DALAM KURIKULUM SEKOLAH RENDAH 2027

Foto: freepik
Bermula sesi 2027, murid Tahun 1 dan 2 hanya akan mempelajari enam subjek teras utama:
- Bahasa Melayu
- Bahasa Inggeris
- Matematik
- Pendidikan Islam/Moral
- Alam dan Manusia (pembelajaran bersepadu & praktikal)
- Pendidikan Jasmani
Tambahan pula, murid di Sekolah Jenis Kebangsaan masih akan mengikuti mata pelajaran Bahasa Cina atau Tamil. Menurut perkongsian pusat tusyen @zhometuition di Threads, pendekatan baharu ini akan mengurangkan beban pelajar yang masih kecil.
“Tiada lagi Sains yang terlalu berat untuk murid Tahun 1 dan 2. Sebaliknya, subjek Alam dan Manusia diperkenalkan, lebih dekat dengan kehidupan seharian seperti fenomena alam, komuniti dan pemerhatian mudah,” jelasnya.
Selain itu, kurikulum sekolah rendah juga akan disusun semula kepada tiga tahap:
- Tahap I: Tahun 1 & 2
- Tahap II: Tahun 3 & 4
- Tahap III: Tahun 5 & 6
Di Tahap II, murid akan mula didedahkan dengan Eksplorasi Seni & Dunia serta Eksplorasi Sains & Teknologi, sebelum bertukar kepada subjek Sejarah dan Sains pada Tahap III.
Menariknya, murid Tahun 5 dan 6 juga akan menikmati tambahan subjek baharu iaitu Pendidikan Seni Visual (PSV), Pendidikan Muzik serta Teknologi dan Digital.
Perubahan yang paling mendapat perhatian ialah penawaran Bahasa Isyarat Malaysia (BIM) di sekolah rendah. Selain bahasa Cina, Tamil dan Arab, murid kini boleh mempelajari bahasa etnik seperti Iban, Kadazandusun dan Semai.
Bagi Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK), Bahasa Isyarat Malaysia diwajibkan, di samping subjek Pendidikan Asas Individu Ketidakupayaan Penglihatan serta Pengurusan Kehidupan Masalah Pembelajaran. Kurikulum baharu ini turut memperkenalkan program Pembentukan Karakter yang wajib untuk semua murid dari Tahun 1 hingga 6 bertujuan melahirkan generasi berilmu, berakhlak dan seimbang.
Reaksi Masyarakat: Teruja, Tetapi Ada Yang Kurang Setuju

Foto: Senarai subjek untuk kurikulum baharu 2027.
Rata-rata ibu bapa dan netizen menyambut baik penawaran Bahasa Isyarat Malaysia serta Pembentukan Karakter. Ramai menyifatkan ia langkah progresif yang telah lama dinanti.
“Memang dah lama harapkan murid belajar Bahasa Isyarat sejak Tahap I dan II, ditambah dengan subjek sahsiah diri,” kata seorang pengguna media sosial.
Namun, ada juga yang meluahkan rasa kurang setuju apabila subjek PSV dan Muzik hanya ditawarkan pada Tahun 5 dan ke atas.
“Subjek macam PSV dan muzik inilah yang seronok, sesuai dengan minat kanak-kanak kecil,” komen seorang ibu.
Menurut dokumen rasmi Kurikulum Persekolahan 2027 yang dikeluarkan KPM, hala tuju baharu pendidikan rendah dirangka seperti berikut:
- Tahap I: Tumpuan pada literasi, numerasi dan pembentukan karakter.
- Tahap II: Aplikasi kemahiran, pengetahuan dan nilai.
- Tahap III: Keupayaan menganalisis, menghasilkan inovasi dan terus membina karakter.
Antara kebaikan yang disasarkan termasuk:
– Meringankan beban murid Tahun 1 & 2.
– Memberi lebih masa menguasai asas membaca, menulis dan mengira (3M).
– Menjadikan pembelajaran awal lebih menyeronokkan.
Dengan silibus baharu ini, jelas bahawa KPM berusaha bukan sekadar mendidik murid untuk lulus peperiksaan, tetapi juga melahirkan insan yang berdaya tahan, kreatif, berakhlak dan mampu menghadapi cabaran masa depan.
Baca juga: Pendidikan Sekolah Menengah Kini WAJIB, Mak Ayah Gagal Hantar Anak Boleh Didenda RM5,000!
Sumber: Thread, Bahagian Pembangunan Kurikulum
