Euforia Bola 2026
Didik

Satu-Satunya Guru Melayu Di SJKT, Pelukan Terakhir Cikgu Syamir Undang Sebak…Kasih Tulus Murid Buat Ramai Menitis Air Mata

kisah guru

Dalam dunia pendidikan, tugas seorang guru bukan sekadar menyampaikan ilmu, tetapi juga membina hubungan, menyemai nilai murni kepada murid. Kisah guru yang bernama Syamir Aiman Mohd Alwi, membuktikan bahawa keikhlasan dalam mendidik mampu membentuk murid yang prihatin dan berakhlak mulia,

Baca juga: “Dalam Banyak Hadiah, Ini Paling Menyentuh Hati..”- Murid Selit RM1 & Kad Buat Guru Menitis Air Mata

KISAH GURU SYAMIR AIMAN BERSAMA MURID SJKT YANG MENYENTUH HATI

kisah guru

Foto: Tiktok @ustsyamir

Selama tiga tahun berkhidmat sebagai guru, Syamir Aiman ditempatkan di sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di Kajang, Selangor.

Lebih istimewa, beliau merupakan satu-satunya guru Melayu yang mengajar Pendidikan Islam di sekolah tersebut. Beliau mula mengajar pada tahun 2023 dan mengajar seorang murid Islam sahaja.

Walaupun kelihatan mudah, realitinya penuh cabaran, terutamanya dari sudut komunikasi kerana murid tersebut lebih fasih bertutur dalam bahasa Tamil.

Namun, kekangan itu tidak menjadi penghalang. Dengan dedikasi tinggi, beliau bukan sahaja mengajar Pendidikan Islam, malah turut mengajar subjek lain seperti Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Seni dan Pendidikan Jasmani.

Dalam masa yang sama, beliau juga berusaha mempelajari asas bahasa Tamil untuk berkomunikasi dengan murid-murid.

Hubungan Erat Tanpa Mengira Bangsa

kisah guru

Foto: Tiktok @ustsyamir

Beliau berjaya membina hubungan yang sangat rapat dengan murid-murid yang majoritinya berbangsa India. Walaupun terdapat kekangan bahasa, kasih sayang antara guru dan murid tetap terjalin.

Murid-murid bukan sahaja selesa berkongsi cerita, malah menunjukkan penghargaan mereka seperti pelukan dan hadiah.

Momen Perpisahan yang Menyentuh Hati

kisah guru

Foto: Tiktok @ustsyamir

Detik yang menyentuh hati  berlaku pada hari terakhir beliau bertugas di sekolah tersebut, sebelum berpindah ke sekolah baharu di Kedah.

Tradisi “lambaian kasih” yang diamalkan sekolah itu menyaksikan murid-murid berbaris di koridor dan tangga, mengiringi langkah guru yang akan meninggalkan mereka.

Dalam suasana penuh emosi, Syamir Aiman mengambil kesempatan untuk bertemu setiap murid, memberi gula-gula dan pesanan terakhir.

Namun, saat bersalaman dan berpelukan, ramai murid tidak dapat menahan air mata.

Ada yang menangis, ada yang memberikan hadiah berupa mainan kecil dan surat sebagai tanda penghargaan yang tidak ternilai.

Momen ini bukan sahaja menyentuh hati warga sekolah, malah turut mengundang sebak dalam kalangan warganet selepas videonya tular di media sosial.

Kisah guru yang berdedikasi

Walaupun telah berpindah ke Sekolah Kebangsaan (SK) Ayer Hitam, Kedah, hubungan Syamir Aiman dengan muridnya tidak terhenti di situ.

Beliau masih meneruskan usaha mengajar mengaji al-Quran secara dalam talian kepada muridnya, termasuk seorang murid yang pernah diajar sejak awal.

Kesungguhan ini membuahkan hasil apabila murid tersebut menunjukkan peningkatan ketara dalam bacaan al-Quran, malah sempat menyertai pertandingan azan dan tilawah sebelum ini.

Rezeki dan Pengorbanan Seorang Guru

Perpindahan ke sekolah baharu juga membawa makna tersendiri buat Syamir Aiman. Selepas sekian lama berjauhan, beliau kini berpeluang tinggal bersama isterinya, Nurul Athirah Zakaria.

Beliau melihat perubahan ini sebagai satu rezeki daripada Allah SWT, di samping meneruskan legasi keluarganya dalam bidang pendidikan.

Kisah Syamir Aiman membuka mata kita bahawa peranan seorang guru jauh lebih besar daripada sekadar mengajar di dalam kelas. Dalam konteks masyarakat majmuk seperti Malaysia, guru menjadi jambatan yang menghubungkan perbezaan budaya dan bahasa.

Pengalaman beliau di SJKT Ladang West Country Barat bukan sahaja membentuk dirinya sebagai pendidik, malah meninggalkan kesan mendalam kepada murid-muridnya.

@ustsyamir Hari terakhir berkhidmat di SJKT. Pengalaman paling berharga menjadi satu-satunya Guru Pendidikan Islam di sekolah tamil dengan seorang murid Pendidikan Islam. Tidak mudah, tidak juga payah hanya masa yang menentukan. Begitulah adat setiap pertemuan ada perpisahan. Moga bersua lagi di lain masa insyaAllah. #fyppppppppppppppppppppppp #perpisahan #guru #gurumuda #ipg ♬ original sound – SyamirAlwi

Baca juga: Cikgu Dapat Hadiah Set Ulam, Buah & Sayur Dari Murid, Tersentuh Jiwa Bila Tengok!

Sumber: Tiktok @ustsyamir 

FT Images: Tiktok @ustsyamir 

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×