Euforia Bola 2026
Famili

Pasukan Forensik Kenal Pasti Ada Kesan Darah Di Bilik Tidur Zayn Rayyan & Bilik Air Rumah

kesan darah

Kematian tragik seorang kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan Abdul Matin, terus menarik perhatian apabila siasatan forensik mendedahkan penemuan kesan darah di beberapa bahagian kediaman keluarga mangsa.

Penemuan itu dibuat ketika pihak polis menjalankan ujian luminol sebagai sebahagian daripada siasatan ke atas kes pengabaian yang kini dibicarakan di mahkamah, membabitkan kedua ibu bapa kanak-kanak tersebut.

Baca juga: Keriangan Bertukar Tragedi, Kanak-Kanak Perempuan Maut Terjatuh Dari Tingkat Enam PPR

PIHAK FORENSIK TEMUI KESAN DARAH DI BILIK TIDUR & BILIK AIR

kesan darah

Foto: Zayn Rayyan

Berdasarkan laporan Harian Metro, Asisten Superintendan Mohd Hafizee Ismail, 38, yang juga pegawai penyiasat kanan, memaklumkan bahawa beliau bersama pasukan forensik hadir di Blok R, Apartmen Idaman, Damansara Damai. Proses mengesan darah menggunakan luminol dijalankan di rumah Zayn Rayyan sekitar jam 9.30 malam.

Ketika kejadian, Mohd Hafizee yang merupakan saksi pendakwaan ke-28 bertugas sebagai pegawai penyiasat jenayah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya. Beliau memberikan keterangan semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, dalam perbicaraan hari ke-17 membabitkan ibu bapa Zayn, iaitu Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf, kedua-duanya berusia 30 tahun, di hadapan Hakim Dr Syahliza Warnoh.

Tambahnya, hasil siasatan mendapati terdapat kesan darah dalam bilik tidur kanak-kanak itu, dan bukti DNA atau darah turut ditemui di dalam bilik air kediaman tersebut.

“Saya telah merakam keterangan daripada Ismanira. Menurutnya, Zayn pernah mengalami pendarahan hidung dan kebiasaannya mengelap darah atau lendir pada dinding bilik serta di beberapa kawasan lain dalam rumah.

“Dia juga memaklumkan bahawa Zayn pernah berdarah selepas terkena pisau cukur ketika berada di bilik air.

“Namun begitu, laporan daripada Jabatan Kimia mengesahkan bahawa darah yang ditemui di bilik air itu adalah milik Zaim Ikhwan,” jelas Mohd Hafizee yang kini bertugas sebagai pegawai risikan operasi di Ibu Pejabat Polis Klang Selatan.

Pada 13 Jun tahun lalu, pasangan suami isteri itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan mengabaikan anak mereka.

Mereka dituduh telah mengabaikan Zayn Rayyan dalam satu kejadian yang berkemungkinan menyebabkan kecederaan fizikal terhadap mangsa. Kejadian tersebut didakwa berlaku di sekitar Blok R, Apartmen Idaman, Damansara Damai hingga ke kawasan sungai berhampiran antara jam 12 tengah hari pada 5 Disember hingga 9.55 malam 6 Disember 2023.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun, atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Mayat Zayn Rayyan ditemui dalam keadaan tidak bernyawa di aliran sungai kecil berhampiran kediamannya pada 6 Disember 2023, selepas dilaporkan hilang pada hari sebelumnya.

Walau bagaimanapun, saksi tersebut tidak dapat mengesahkan pemilik sebenar darah yang ditemui di salah satu bilik dalam rumah tersebut kepada pihak mahkamah.

kesan darah

Foto: BERNAMA

Baca juga: “Arwah Anak Sulung Harapan Keluarga..”- Siswi UUM Maut Dihimpit Bas Kampus, Kecederaan Jantung

Sumber: Harian Metro

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×