Nampaknya kes Zayn Rayyan terkini telah dirungkaikan dalam pelbagai perspektif. Terbaharu, kanak-kanak autistik Zayn Rayyan Abdul Matin dikatakan tidak menunjukkan sebarang tanda telah didera atau diabaikan.
Ini demikian menurut seorang pakar psikologi kanak-kanak yang hadir memberi keterangan di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, hari ini (4 Ogos 2025).
KES ZAYN RAYYAN TERKINI: PAKAR KATA TIADA UNSUR ‘ABAI’ DARI KONTEKS PSIKOLOGI

Foto: Ibu Zayn Rayyan, hadir ke mahkamah hari ini.
Dr Noor Aishah Rosli, 49 tahun, yang juga pengasas CPC International, berkata pandangannya itu berdasarkan tiga laporan perubatan daripada Hospital Selayang dan Hospital Sungai Buloh yang diserahkan oleh pihak pembelaan.
“Saya sudah membaca ketiga-tiga laporan berkenaan, dan tidak ada satu pun ayat yang menunjukkan berlaku pengabaian atau penderaan ke atas kanak-kanak ini,” kata beliau ketika menjawab soalan peguam Haresh Mahadevan semasa pemeriksaan utama.
Dr Noor Aishah, yang turut memiliki sijil sebagai seorang kaunselor, turut menjelaskan maksud sebenar ‘pengabaian’ dalam konteks psikologi kanak-kanak.
Menurutnya, mengikut definisi yang diguna pakai Persatuan Psikologi Amerika (APA) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), pengabaian merangkumi aspek emosi, fizikal, pendidikan dan keperluan asas dan ia mesti berlaku secara berterusan dan berulang dalam tempoh tertentu.
“Sebagai contoh, jika seorang kanak-kanak tidak diberi makan tengah hari kerana penjaganya jatuh sakit, itu bukanlah pengabaian. Tetapi jika anak itu hanya diberi sebungkus roti kecil dan air, serta dibiarkan berharap kepada jiran untuk makanan dan perkara ini berlaku setiap hari, dari minggu ke minggu… barulah ia dikira sebagai pengabaian,” katanya.
Mengulas mengenai pertuduhan pindaan terhadap ibu Zayn Rayyan, Ismanira Abdul Manaf, pakar itu menyatakan bahawa frasa ‘dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal’ tidak membuktikan sebarang kepastian dari segi kesan fizikal.
Pada 21 Julai lalu, Mahkamah Sesyen memutuskan bahawa Ismanira, 30, perlu membela diri selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya. Suaminya, Zaim Ikhwan Zahari, 30, bagaimanapun dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan yang sama.
Pasangan itu dituduh mengabaikan Zayn Rayyan dalam satu kejadian di kawasan Blok R, Apartmen Idaman, Damansara Damai, sehingga ke lokasi berhampiran sungai antara 12 tengah hari, 5 Disember hingga 9.55 malam, 6 Disember 2023.
Mereka berdepan pertuduhan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda sehingga RM50,000, atau kedua-duanya sekali jika disabit kesalahan.

Perbicaraan disambung esok.
Sumber: BERNAMA
