Pelajar MRSM sekali lagi menjadi perhatian apabila enam pelajar Tingkatan Lima disyaki terbabit dalam satu kes buli di sebuah Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) di Johor.
Susulan kejadian itu, Bahagian Pendidikan Menengah, Majlis Amanah Rakyat (MARA), bersama pihak pentadbiran MRSM berkenaan diarahkan mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Disiplin Maktab (JDM) dalam tempoh 24 jam bagi menjalankan siasatan dan mengambil tindakan menyingkirkan pelajar yang didapati terlibat.
Baca juga: Bukan Sebab Makan Banyak! Berat Badan Boleh Naik Tiba-Tiba Kerana 3 Jenis Ubat Ini…
PELAJAR MRSM BULI JUNIOR, ASYRAF WAJDI ARAH ADAKAN SIASATAN

Sekadar gambar hiasan
Pengerusi MARA, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan bahawa tindakan disiplin perlu dilaksanakan tanpa sebarang kompromi, selaras dengan pendirian MARA yang mengamalkan prinsip “You Touch, You Go”, iaitu mana-mana pelajar yang terbukti melakukan buli tidak akan dibenarkan terus berada di MRSM.
Beliau menyifatkan insiden tersebut sebagai sesuatu yang amat mengecewakan dan menegaskan bahawa tiada alasan yang boleh menghalalkan perbuatan membuli, walaupun atas alasan mahu mendisiplinkan pelajar junior.
Menurut beliau, budaya mengambil tindakan sendiri terhadap pelajar lain adalah sama sekali tidak boleh diterima dalam mana-mana institusi pendidikan di bawah MARA.
Kes berkenaan mula mendapat perhatian selepas seorang ibu atau bapa berkongsi pengalaman anaknya menerusi platform Threads. Mangsa dikatakan mahu berpindah keluar dari MRSM kerana tidak lagi mampu berdepan dengan kejadian buli yang dialaminya.
Susulan laporan polis yang dibuat oleh keluarga mangsa, enam pelajar Tingkatan Lima yang disyaki terlibat telah direman selama dua hari di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bakri bagi membantu siasatan.

Dalam masa sama, Asyraf Wajdi menggesa semua pelajar supaya tidak berdiam diri sekiranya menjadi mangsa atau mengetahui kejadian buli di sekolah.
Beliau turut memberi amaran kepada mana-mana pihak pentadbiran MRSM yang cuba menyembunyikan atau tidak melaporkan kes buli kerana tindakan tegas akan diambil sekiranya perkara tersebut berlaku.
“Jangan mengambil tindakan keluar daripada MRSM kerana tidak tahan dengan buli. Perbuatan ini (buli) harus kita kekang dan dilaporkan kepada pihak pentadbir MRSM.
“Kalau ada sebarang bentuk perbuatan menyorokkan perbuatan ini, pasti pihak MARA akan mengambil tindakan tegas,” jelasnya.
Menurut beliau, pelajar tidak seharusnya memilih untuk meninggalkan MRSM akibat tekanan daripada perbuatan buli. Sebaliknya, setiap insiden perlu segera dilaporkan kepada pihak pengurusan supaya tindakan sewajarnya dapat diambil.
Sumber: Berita Harian
