Seorang remaja lelaki lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) direman selama empat hari bagi membantu siasatan berhubung kes buang bayi perempuan di kawasan semak di Kampung Jawa, Tawau, Sabah, awal pagi semalam.
Kes berkenaan mengundang perhatian ramai selepas bayi yang baru dilahirkan itu ditemui dalam keadaan ditinggalkan di kawasan semak sebelum diselamatkan oleh orang awam dan dibawa mendapatkan rawatan.
Baca juga: Jadi Isu Ambil Makanan Kenduri Tanpa Izin, Jurugambar Tampil Mohon Maaf & Bayar Ganti Rugi RM500…
KES BUANG BAYI PEREMPUAN DALAM SEMAK, REMAJA LEPASAN SPM DIREMAN

Foto: Magnific
Berdasarkan siasatan awal, bayi perempuan seberat 3.1 kilogram itu ditemui oleh orang awam kira-kira jam 6 pagi di kawasan semak berhampiran sebuah rumah di Kampung Jawa.
Selepas penemuan tersebut, orang awam segera menghubungi pihak berkuasa sebelum bayi berkenaan dibawa ke Hospital Tawau menggunakan ambulans bagi menjalani pemeriksaan kesihatan serta menerima rawatan lanjut.
Dua Remaja Ditahan Bantu Siasatan

Foto: Polis Diraja Malaysia
Susulan maklumat yang diterima, polis kemudian menahan seorang remaja lelaki yang disyaki mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.
Remaja terbabit ditahan di hadapan sebuah rumah di Kampung Jawa Sentosa, Jalan Guru kira-kira jam 10.40 pagi, iaitu beberapa jam selepas bayi berkenaan ditemui.
Kira-kira 30 minit kemudian, polis turut menahan seorang remaja perempuan berusia 15 tahun di sebuah rumah di kampung yang sama bagi membantu siasatan.
Hasil siasatan lanjut mendapati remaja perempuan itu merupakan seorang warga asing yang disyaki berada di negara ini tanpa memiliki dokumen perjalanan yang sah.
Menurut polis, remaja perempuan tersebut telah ditahan selama 14 hari mengikut Akta Imigresen 1959/63. Bagaimanapun, ketika ini dia masih menerima rawatan di Hospital Tawau bersama bayi perempuan berkenaan.
Polis Terima Dua Laporan, Kes Masih Disiasat
Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Wilynton Enchana Watt berkata, pihaknya menerima dua laporan polis berhubung penemuan bayi tersebut.
Beliau memaklumkan bahawa siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti keseluruhan kronologi kejadian serta penglibatan mana-mana individu lain.
Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan, iaitu kesalahan mendedahkan atau meninggalkan kanak-kanak yang berumur di bawah 12 tahun oleh ibu atau bapa atau individu yang mempunyai tanggungjawab menjaga kanak-kanak itu dengan niat untuk membuangnya.
Baca juga: Belajar Lebih Interaktif, Semua Tabika KEMAS Dijangka Lengkap Dengan Smartboard Tahun Depan
Sumber: Harian Metro
