Seorang penoreh getah dijatuhi hukuman penjara selama 24 tahun dan 12 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Tanah Merah selepas mengaku bersalah atas empat pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak perempuan kandungnya yang masih bawah umur.
Baca juga: Nampak Comel Tapi Berbahaya, Ini 7 Barang JANGAN Letak Dalam Katil Bayi..Risiko Lemas & SIDS!
AMANG SEKSUAL ANAK KANDUNG, PENOREH GETAH DIPENJARA 24 TAHUN

Foto: Polis Diraja Malaysia
Tertuduh, Nik Mohd Zaini Nik Zulkepeli, 39, membuat pengakuan bersalah sebaik sahaja semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkpli Abdullah.
Mengikut fakta kes, pertuduhan pertama melibatkan kejadian pada 28 Ogos 2025, ketika mangsa berusia 13 tahun dua bulan. Perbuatan itu didakwa berlaku di sebuah kebun getah di sebuah kampung di Tanah Merah kira-kira jam 10 malam.
Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa yang sama ketika berusia 13 tahun 11 bulan. Kejadian itu didakwa berlaku di lorong sebuah kampung di Tanah Merah pada jam 3.50 pagi, 25 Mei lalu.
Sementara itu, pertuduhan ketiga dan keempat membabitkan kejadian pada 26 Jun dan 30 Jun lalu, ketika mangsa berusia 14 tahun satu bulan. Kedua-dua kejadian tersebut dikatakan berlaku di sebuah kebun getah antara jam 8.30 malam hingga 10 malam.
Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 14 akta sama. Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta sebatan.
Dakwa Manipulasi Mangsa Kononnya Untuk “Mengubati”

Foto: Magnific
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aiysha Na’ilah Harizan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman, tertuduh memohon agar dikenakan hukuman yang lebih ringan dengan alasan dia telah insaf atas perbuatannya.
Bagaimanapun, pihak pendakwaan memohon hukuman setimpal memandangkan kesalahan yang dilakukan adalah sangat serius, lebih-lebih lagi mangsa merupakan anak kandung sendiri yang sepatutnya dilindungi.
Menurut pihak pendakwaan lagi, tertuduh turut didakwa memanipulasi mangsa dengan mendakwa perbuatan tersebut kononnya bertujuan “mengubati” mangsa supaya menjadi insan yang lebih baik.
Hukuman Berjalan Secara Berasingan
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman enam tahun penjara dan tiga sebatan bagi setiap satu daripada empat pertuduhan.
Hakim turut memerintahkan supaya semua hukuman tersebut berjalan secara berasingan, menjadikan keseluruhan hukuman yang perlu dijalani tertuduh ialah 24 tahun penjara dan 12 sebatan.
Hukuman itu berkuat kuasa bermula dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 3 Julai lalu.
Kes ini sekali lagi mengingatkan masyarakat bahawa jenayah seksual terhadap kanak-kanak, lebih-lebih lagi apabila melibatkan ahli keluarga sendiri, merupakan kesalahan yang amat serius.
Kanak-kanak berhak mendapat perlindungan, kasih sayang dan persekitaran yang selamat untuk membesar tanpa sebarang bentuk penderaan atau eksploitasi.
Baca juga: Ramai Masih Basuh Pad Sebelum Buang, Rupanya Tak Perlu Langsung! Ini Sebabnya…
Sumber: Harian Metro
