Dalam dunia rumah tangga, setiap pasangan menempuh jalan yang berbeza. Bagi pasangan ini, perjalanan mereka penuh ujian kesuburan, air mata dan akhirnya, takdir yang membuka pintu bahagia dengan cara yang tidak pernah mereka jangka.
Itulah kisah benar yang dikongsikan oleh seorang wanita, melalui threads yang enggan dikenali, tentang perjuangan mereka sebagai suami isteri.
Baca juga: Suami Cabar Doa Isteri, 3 Hari Kemudian Terima Kifarah Ditimpa Kemalangan & Mengaku Ada Buat Salah!
SUAMI TERGAMAM HASIL UJIAN KESUBURAN, TIADA SPERMA LANGSUNG DALAM AIR MANI

Tangkap layar luahan wanita ini di laman Threads.
Sebelum berkahwin, wanita ini sudah pun memberitahu bakal suaminya bahawa dia mungkin sukar hamil kerana mengalami masalah haid tidak teratur. Namun lelaki itu hanya tersenyum lalu berkata, “Tak apa, kita cari jalan nanti.”
Kata-kata itulah yang membuatkan dia reda sekiranya takdir hidup mereka tidak mengurniakan anak langsung. Paling penting, mereka tetap memilih satu sama lain.
Namun setelah setahun setengah berlalu tanpa tanda kehamilan, mereka mengatur janji temu untuk menjalani pemeriksaan. Disebabkan hidup berjauhan, mereka tidak terburu-buru sebelum itu.
Ketika menuju ke klinik, suaminya kelihatan gelisah kerana takut dialah punca masalah. Dia cuba menenangkan, menyangka masalah itu berpunca darinya kerana haidnya yang tidak teratur.
Pada hari pemeriksaan, dia menjalani ujian darah dan imbasan terlebih dahulu. Suaminya pula diminta datang semula untuk ujian sperma.
Beberapa hari kemudian, ketika keputusan dikeluarkan, dunia mereka terasa sepi seketika. Doktor memaklumkan bahawa suaminya mengalami azoospermia iaitu keadaan di mana tiada sperma langsung dalam air mani.
Mereka berdua tergamam. Tiada kata yang mampu keluar.
Pertama kali suaminya menangis dan berkata “ada pistol, tapi tak ada peluru”
Dalam kereta, dia menyaksikan detik yang tidak pernah berlaku sepanjang sepuluh tahun mereka saling mengenali. Di mana, suaminya menangis buat pertama kali. Air mata yang jatuh itu membawa bersama beban rasa gagal, kecewa dan hilang arah.
Sampai di rumah, suami menghubungi ibunya, lalu meluahkan “ada pistol, tapi tak ada peluru.” Kata-kata itu meruntun jiwa. Mereka hanya terbaring seharian, seolah-olah hidup mereka tiba-tiba menjadi kosong.
Suaminya bukan perokok, bukan peminum arak, tidak pernah bermain perempuan dan bekerja siang malam demi mengubah nasib keluarga. Sampai suaminya cakap, “kenapa orang yang minum arak, main perempuan tapi Allah bagi anak berderet? I tak buat semua tu, tapi I tak dapat apa yang I nak.”
Dia tidak punya jawapan. Yang dia ada hanyalah rasa simpati yang terlalu besar terhadap suaminya yang sedang patah semangat.
Mereka tidak berputus asa. Mereka mencuba kaedah IVF-ICSI, walaupun kosnya mencecah hampir RM30,000. Namun keputusan tetap menyedihkan. Di mana, kesihatan reproduktif kedua-duanya tidak berada pada tahap terbaik. Percubaan itu gagal.
Pada ketika itu, mereka terlalu letih untuk berharap. Namun suaminya tetap berkata perlahan, “tak apa, nanti beberapa tahun lagi kita cuba lagi.” Ayat itu sendiri sudah cukup untuk menunjukkan bahawa cintanya masih penuh harapan.
Satu panggilan telefon telah mengubah hidup pasangan ini

Gambar hiasan Pinterest.
Awal tahun 2023, sebuah panggilan telefon mengubah seluruh perjalanan hidup pasangan ini. Seorang kenalan bertanya sama ada mereka mahu mengambil anak angkat. Ada bayi yang bakal lahir, tetapi belum ada keluarga angkat.
Pada hari yang sama, mereka bersetuju tanpa ragu. Dan di situlah bermulanya sinar baru dalam hidup mereka. Kehadiran anak kecil itu bagaikan menyalakan kembali semangat yang hilang.
Keinginan memiliki anak kandung masih ada. Tetapi mereka sudah reda bahawa takdir mungkin menetapkan cerita hidup mereka dengan cara yang berbeza.
Malah, si suami sudah bercadang mahu menambah seorang lagi anak angkat, walaupun dia sempat berseloroh, “Tunggu dulu, saya pun belum cukup nafas dengan yang seorang ini.”
Walau apa pun, kasih sayang mereka terhadap anak angkat itu sangat tulus. Anak itu bukan sekadar peneman, dia adalah cahaya yang memulihkan luka hati mereka.
Sementara itu, kisah pasangan ini telah mendapat doa yang tiada penghujungya daripada warga maya. Dia yang berterima kasih, tidak menyangka kisahnya mendapat perhatian begitu ramai.
Dalam ruangan komen, ramai berkongsi pengalaman yang hampir sama.
Ada yang hamil selepas mengambil anak angkat, ada yang akhirnya dikurniakan zuriat setelah doktor berkata sebaliknya dan ada juga yang kekal tanpa anak tetapi bahagia kerana saling memilih untuk terus bersama.
Semua komen itu baginya seperti pelukan hangat daripada orang yang memahami.
Sumber: Threads
FT image: Zehra Ismat (Pinterest)
