Kisah seorang suami bersama isterinya yang hilang ingatan ini menjadi inspirasi ramai apabila ia membuktikan bahawa cinta sejati bukan sekadar pada memori, tetapi pada usaha untuk terus setia walau diuji masa dan takdir.
Di sebalik cincin lama dan wajah yang masih sama, suami ini memilih untuk mencipta semula detik perkahwinan mereka sebagai simbol kasih sayang yang tidak pernah pudar, walaupun ingatan isterinya telah berubah sepenuhnya.
ISTERI HILANG INGATAN, SUAMI CIPTA MOMEN ‘KAHWIN SEMULA’

“Saya nak ‘kahwin’ sekali lagi dengan isteri saya. Kira-kira lapan tahun lalu, dia kemalangan dan kehilangan memori. Dia lupa anak-anak, malah dengan saya sendiri pun dia lupa,” ujar Emirul Hisham Md Shariff.
Detik penuh emosi, video yang dimuat naik di Instagram @storiemy_ bukan sahaja menyentuh hati ramai, malah menjadi simbol kekuatan sebuah hubungan yang diuji oleh masa dan keadaan luar jangka.
Menurut Emirul Hisham, keadaan itu bukan sesuatu yang mudah untuk diterima, namun dia memilih untuk terus kuat demi keluarga.
“Bila isteri tak kenal saya, saya sangat risau. Tidak ada yang boleh digambarkan apabila kehilangan orang yang kita sayang.
“Anak-anak masih kecil, jadi saya kena kuat. Ini tanggungjawab, apa-apa halangan kita kena harungi, jangan lari dari masalah. Yang penting, hidup kita ada tujuan,” ujarnya lagi.
Dalam kejutan tersebut, Emirul Hisham turut menggunakan kembali cincin perkahwinan asal mereka sebagai simbol kenangan yang tidak pernah hilang walaupun memori sudah pudar.
“Saya sediakan cincin, cincin nikah kami dulu. Cincin yang sama, sebab orang yang sama. Disebabkan kemalangan itu, jarinya makin kurus.
“Hari ini saya nak buat kejutan, nak bagi dia seronok dan nak kembalikan memori yang sudah hilang,” ujarnya lagi.
Momen itu menjadi lebih menyentuh apabila isterinya, Rubiyatul Isqi Ishak, yang masih dalam proses pemulihan dilihat terharu dengan usaha suaminya.
“Terima kasih sebab terima saya seadanya. Terharu saya. Terima kasih sebab jaga saya selama ini, terima kelebihan dan kekurangan saya, walaupun saya tak sempurna.
“Masa awal-awal sedar dari koma, saya tak kenal suami. Dia menjaga saya sebaiknya. Maknanya saya tak silap pilih dia sebagai suami saya,” luah Rubiyatul.
HUBUNGAN SUAMI ISTERI JANGAN MUDAH GOYAH…

Berdasarkan perkongsian di program Selamat Pagi Malaysia, pasangan tersebut turut berkongsi perjalanan hidup mereka selepas kemalangan pada tahun 2018.
Kejadian itu mengubah sepenuhnya kehidupan keluarga mereka yang memiliki tujuh orang anak, apabila Rubiyatul mengalami masalah ingatan selepas sedar dari koma akibat kemalangan.
Walaupun berdepan ujian besar, Emirul Hisham tetap setia menjaga dari hari ke hari, termasuk menguruskan rawatan, keperluan harian dan keluarga.
Dalam masa sama, Emirul Hisham dan Rubiyatul turut menitipkan nasihat kepada pasangan di luar sana agar menghargai hubungan dan tidak mudah goyah dengan cabaran semasa.
Menurut mereka, dalam dunia hari ini yang semakin banyak diuji dengan isu kecurangan dan perpisahan, setiap pasangan perlu kembali kepada asas iaitu kebergantungan kepada Allah, kepercayaan, tanggungjawab dan saling melengkapi antara satu sama lain.
Mereka menegaskan bahawa setiap ujian dalam rumah tangga adalah ruang untuk saling memperbaiki diri, bukan alasan untuk menjauh atau menyerah dalam hubungan.
Kisah ini tular selepas dirakam dan dikongsikan oleh seorang pencipta kandungan, Jia Ming yang merealisasikan kejutan ‘kahwin semula’ tersebut, sekali gus mengangkat kisah mereka sebagai inspirasi ramai.
Lebih daripada sekadar video viral, ia menjadi bukti bahawa cinta bukan hanya tentang apa yang diingati, tetapi tentang siapa yang tetap memilih untuk tinggal walaupun segalanya berubah.
Lihat siaran ini di Instagram
Sumber: Instagram @storiemy_ / YouTube Berita RTM
FT Image: Instagram @storiemy_
