REV Media Group, penerbit digital terkemuka di Malaysia, dengan bangganya mengumumkan pelancaran Halal Travel, sebuah kempen dinamik yang bertujuan untuk memberi inspirasi dan panduan kepada pengembara Muslim bukan sahaja di Malaysia malah seluruh dunia.
Bermula dari Mei hingga Disember 2025, inisiatif ini diterajui oleh empat platform digital terkenal di bawah REV Media Group — My Resipi, Sirap Limau, VOCKET dan Waktu Solat Malaysia.
Baca juga: 10 Hotel Mesra Bajet Bawah RM100 Seluruh Malaysia, Bercuti Satu Keluarga Tanpa Poket Kering!
HALAL TRAVEL, KEMPEN DINAMIK UNTUK PENGEMBARA MUSLIM

Empat platform ini menawarkan kekuatan tersendiri untuk mewujudkan ekosistem perjalanan yang inklusif dan menyeluruh. Dengan kandungan terpilih, dan panduan yang telah dirancang awal, Halal Travel memastikan setiap perjalanan bukan sahaja diingati, malah selari dengan nilai-nilai Islam.
“Mengembara sememangnya digalakkan dalam Islam, namun pengembara Muslim sering berdepan cabaran dalam mencari makanan halal, ruang solat atau pengalaman yang menghormati budaya. Melalui Halal Travel, kami ingin merapatkan jurang ini dan memudahkan umat Islam meneroka dunia dengan yakin dan tenang,” kata Muhamad Shaifullah Tayep, Penulis Senior Kandungan Tajaan Kanan di REV Media Group.
Empat platform dalam Kempen Halal Travel yang anda boleh dapatkan segala informasi adalah:
1. My Resipi– Menumpukan kepada penerokaan kulinari halal dengan menyediakan panduan makanan, hidangan tempatan yang wajib dicuba dan resipi DIY untuk pengembara yang suka memasak.
2. Sirap Limau – Fokus kepada perjalanan berorientasikan keluarga dengan cadangan destinasi mesra kanak-kanak, tempat makan mesra halal dan tip berguna untuk ibu bapa Muslim.
3. VOCKET – Menyasarkan pengembara solo dan ‘backpacker’ dengan mengetengahkan lokasi bajet, lokasi tersembunyi, ‘street food’ halal dan tip keselamatan untuk pengembaraan.
4. Waktu Solat Malaysia – Melengkapkan keseluruhan pengalaman dengan keperluan rohani seperti waktu solat yang tepat dan arah kiblat, memastikan pengguna tidak terlepas solat walaupun sedang dalam perjalanan.
Kesemua platform ini bergabung sebagai ‘teman’ perjalanan digital yang menyeluruh, memenuhi keperluan agama, budaya dan praktikal pengembara Muslim moden.
Pengembara Muslim merupakan segmen yang semakin pesat berkembang dalam industri pelancongan global, namun ramai yang masih berdepan kesukaran mendapatkan sumber yang sejajar dengan gaya hidup dan nilai mereka. Kempen Halal Travel mengisi kekosongan ini dengan memberi keutamaan kepada pematuhan halal, kemudahan rohani dan kesedaran budaya.
“Halal Travel bukan sekadar tentang makanan, ia tentang rasa dihormati dan selesa walaupun berada di negara orang,”
“Sama ada anda mencari masjid terdekat atau aktiviti mesra keluarga yang tidak bercanggah dengan pegangan anda, kempen ini memastikan pengembara Muslim rasa dihargai, disokong dan terinspirasi,” tambah Shaifullah.
ADA LAMAN MIKRO KHAS, HIMPUN SEMUA HUB PERJALANAN

Teras kempen ini adalah sebuah laman mikro khas iaitu www.myresipi.com/halaltravelmy — yang berfungsi sebagai hub perjalanan sehenti untuk umat Islam yang aktif mengembara. Laman ini dibina berdasarkan tiga teras utama: makanan, tip dan aktiviti.
Daripada makanan jalanan halal dan hidangan tempatan yang wajib dicuba hinggalah ke panduan etika budaya dan mencari ruang solat, setiap bahagian direka untuk membantu pengembara mengetahui apa yang boleh dimakan, dilakukan dan dijangka sepanjang perjalanan mereka.
Untuk merancang dan mendapat sokongan semasa dalam perjalanan, platform ini turut menyertakan alat digital berguna seperti pencari arah kiblat dan jadual waktu solat waktu yang disokong oleh Waktu Solat Malaysia. Ini memastikan keperluan rohani dipenuhi dengan mudah dan tepat, di mana sahaja pengguna berada.
Kempen ini akan dijalankan dalam tiga fasa:
#Fasa 1 (Mei – Jun 2025): Menumpukan kepada tawaran perjalanan bajet untuk pengembara yang mementingkan kos.
#Fasa 2 (Julai – September 2025): Memberi tumpuan kepada perjalanan kesejahteraan dan penyembuhan, termasuk spiritual.
#Fasa 3 (Oktober – Disember 2025): Menampilkan tawaran percutian mesra keluarga sempena cuti sekolah, sesuai untuk pengembara dari semua peringkat umur.
Kesimpulannya, Halal Travel bukan sekadar kempen, ia adalah gerakan untuk menjadikan perjalanan lebih inklusif, berpengetahuan dan memberi inspirasi kepada pengembara Muslim di seluruh dunia.
Untuk maklumat lanjut, sila layari www.myresipi.com/halaltravelmy dan ikuti My Resipi, Sirap Limau, VOCKET dan Waktu Solat Malaysia di Facebook, Instagram dan TikTok untuk tip, panduan dan informasi terkini kempen.
Baca juga: 10 Pilihan Terbaik Hotel Mesra Kanak-Kanak Di Malaysia Tahun 2025, ‘Confirm’ Tak Nak Balik!
