Euforia Bola 2026
Famili

“Bos Kami Pergi Dengan Tenang”- Usahawan Suami Isteri Sempat Bayar Gaji Pekerja Sebelum Maut Kemalangan

ford mustang terbabas

Kematian tidak mengenal waktu, tempat atau suasana. Begitulah takdir menyayat hati yang menimpa sepasang usahawan muda, Mohd Izuddin Harmaini, 51, dan isterinya Nur Syamimi Rosli, 36, apabila kenderaan Ford Mustang terbabas.

Sangat menyedihkan hati apabila mereka maut dalam kemalangan ngeri tersebut di KM13 Jalan Segamat-Kuantan, Isnin (3 Ogos 2025).

Baca juga: Pemandu Bas Terlelap, Ini Kronologi Kemalangan 30 Murid Tadika Dan 5 Guru Nyaris Maut Di UPM

FORD MUSTANG TERBABAS, PASANGAN SUAMI ISTERI MAUT SEMPAT BAYAR GAJI PEKERJA…

ford mustang terbabas

Kenderaan yang dinaiki pasangan ini dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar tiang elektrik di bahu jalan. Ketua Polis Daerah Segamat, Supt Ahmad Zamry Marinsah berkata, kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Namun di sebalik tragedi tersebut, tersingkap satu kisah menyentuh hati yang menjadi bualan ramai. Beberapa jam sebelum kejadian, arwah Nur Syamimi sempat melunaskan tanggungjawab terakhirnya sebagai majikan iaitu dengan memasukkan gaji pekerja mereka.

Ada satu hantaran di TikTok Leyparking Cafe, kakitangan mereka berkongsi:

“Kami terkejut dan masih tidak percaya. Sebelum memulakan perjalanan, arwah sempat masukkan gaji staf. Lepas itu, dia terus senyap. Rupa-rupanya… itulah amanah terakhir yang dia sempat tunaikan…” 

Lebih memilukan, sebelum insiden berlaku, arwah dikatakan sering berkongsi video-video berunsur emosi dan menyentuh perasaan di media sosial, seolah-olah memberi petanda bahawa sesuatu bakal berlaku.

TINGGALKAN ANAK-ANAK KECIL, YATIM PIATU…

ford mustang terbabas

Pasangan suami isteri ini bukan sahaja dikenali sebagai usahawan berjaya dalam bidang barang kemas dan makanan, tetapi juga sebagai majikan yang prihatin dan disayangi ramai.

Satu lagi perkongsian mendedahkan lagi sisi pilu tragedi apabila mereka meninggalkan anak-anak kecil yang kini yatim piatu.

“Pemergian sepasang suami isteri ini dalam sekelip mata amat berat untuk diterima, apatah lagi bagi anak-anak kecil yang masih memerlukan kasih sayang dan belaian ibu bapa. Kini, mereka menatap wajah terakhir insan tersayang dalam linangan air mata dan perasaan yang belum mampu diungkap dengan kata-kata,” dalam perkongsian.

Jenazah kedua-dua Allahyarham telah selamat dikebumikan di kampung halaman mereka di Pekan, Pahang.

Sementara itu, siasatan lanjut berhubung kejadian sedang dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Polis meminta saksi atau individu yang mempunyai maklumat tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Trafik IPD Segamat.

“Sesungguhnya, kepergian mereka adalah satu kehilangan besar, bukan sahaja kepada keluarga, tetapi juga kepada para pekerja dan kenalan yang pernah merasai kasih sayang serta keprihatinan mereka..”

Al-Fatihah buat Allahyarham Mohd Izuddin dan Allahyarhamah Nur Syamimi. Semoga roh mereka dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman.

Baca juga: “Jangan Malu Jadi Diri Sendiri”- CGPA 4.0, Dua Ijazah & Bekerja Di Tiga Sektor, Wanita OKU Ini Jadi Inspirasi!

Sumber: Sinar Plus, Tiktok, Instagram Mr Wan Chai Official

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×