Seorang penuntut Doktor Falsafah (PhD) maut manakala seorang lagi rakannya cedera selepas kereta terbabas dan dipercayai hilang kawalan sebelum terjunam ke dalam tasik di kawasan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Jeli, pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Jeli, Superintenden Kamarulzaman Harun memaklumkan bahawa pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam sekitar jam 6.35 petang berhubung insiden berkenaan.
Baca juga: Senarai Tarikh-Tarikh Penting Dalam Islam Tahun 2026, Boleh ‘Take Note’ Dari Sekarang!
KERETA TERBABAS & HILANG KAWALAN, PELAJAR PHD MAUT

Menurut beliau, ketika kejadian kira-kira jam 6.20 petang, mangsa Muhammad Amidee Abdullah, 25, yang memandu kereta Perodua Axia difahamkan sedang melalui laluan selekoh menuruni bukit di dalam kawasan kampus.
“Secara tiba-tiba kereta hilang kawalan sebelum terbabas ke dalam tasik di bahagian kanan jalan. Penumpang berjaya keluar menyelamatkan diri, namun pemandu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Penumpang kini menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Jeli,” katanya
Beliau turut memaklumkan bahawa proses bedah siasat akan dilaksanakan bagi menentukan punca sebenar kematian.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987. Mana-mana individu yang mempunyai maklumat diminta tampil menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Jeli di talian 09-9440222 atau pegawai penyiasat di 014-8021928,” ujarnya.
Kamarulzaman turut mengingatkan orang ramai agar lebih berwaspada ketika memandu terutama di laluan berbukit dan selekoh bagi mengurangkan risiko kemalangan.
Baca juga: Senarai Tarikh-Tarikh Penting Dalam Islam Tahun 2026, Boleh ‘Take Note’ Dari Sekarang!
Sumber: Berita Harian
