Suasana ceria sambutan tahun baharu bertukar menjadi tragedi pilu apabila dua kanak-kanak kembar lemas dilaporkan meninggal dunia di kolam renang Komplek Citraland, Percut Sei Tuan, Medan, Indonesia.
Kanak-kanak perempuan kembar itu berusia tujuh tahun ditemui dalam keadaan tidak bernyawa di salah sebuah kolam renang di kawasan perumahan tersebut. Kedua-dua mangsa merupakan anak kepada seorang suri rumah berusia 49 tahun.
Baca juga: 6 Cara Suami Pegang Tangan Isteri, Setiap Gaya Ternyata Ada Makna Tersirat & Rahsia Emosi!
DUA KANAK-KANAK KEMBAR LEMAS DALAM KOLAM RENANG

Sekadar gambar hiasan. Kredit: Sukabumi
Ketua Polis Sektor Medan Tembung, AKP Ras Maju Tarigan, mengesahkan kejadian berkenaan melalui satu kenyataan bertulis. Menurutnya, pihak polis menerima maklumat mengenai penemuan dua kanak-kanak perempuan yang terapung di tengah kolam renang di Jalan Pasar V Timur, Dusun IX, Desa Kenangan Baru.
“Saksi memaklumkan melihat dua kanak-kanak perempuan terapung di tengah kolam sebelum bertindak terjun ke dalam kolam untuk memberikan bantuan dan membawa mereka ke tepi. Namun, kedua-duanya tidak menunjukkan sebarang tindak balas,” katanya.
Keadaan di lokasi kejadian menjadi cemas apabila orang ramai menyaksikan usaha memberikan bantuan kecemasan terhadap mangsa. Kedua-dua kanak-kanak itu kemudiannya dikejarkan ke Hospital Haji bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Kredit: Waspada ID
Bagaimanapun, pihak hospital mengesahkan kedua-dua mangsa telah meninggal dunia sebaik tiba di hospital.
Difahamkan, rakaman video kejadian tersebut turut tular di media sosial, khususnya di Instagram, sekali gus mengundang rasa sebak dalam kalangan netizen yang menyaksikan usaha orang ramai cuba menyelamatkan mangsa.
AKP Ras Maju Tarigan turut memaklumkan bahawa siasatan awal oleh pasukan Inafis Polrestabes Medan mendapati punca kematian kedua-dua kanak-kanak itu adalah akibat lemas ketika berenang.
“Pihak keluarga menerima kejadian ini dengan reda dan bersetuju untuk tidak menjalankan proses bedah siasat,” jelasnya.
Baca juga: MRSM Kembalikan Exit Policy Tahun 2026, Pelajar Perlu Kekal Cemerlang Dalam Akademik
Sumber: IDN TIMES
