Dalam dunia pemakanan sihat hari ini, roti gluten free semakin mendapat tempat di hati pengguna terutama mereka yang mempunyai alergi terhadap gandum atau ingin menjaga kesihatan usus.
Namun, sangat penting untuk anda ambil tahu bahawa tidak semua yang dilabel ‘sihat’ itu benar-benar selamat!
BAKERI JUAL ROTI GLUTEN FREE TIPU, ANAK PELANGGAN KENA ALERGI SERIUS!

Biasanya, roti atau kek bebas gluten dijual pada harga lebih tinggi berbanding roti biasa. Ini kerana bahan yang digunakan seperti tepung beras perang, tepung badam, atau tepung ubi kayu lebih sukar diperoleh dan menelan kos lebih tinggi. Oleh sebab itu, pelanggan percaya bahawa setiap sen yang dibayar berbaloi untuk kesihatan mereka.
Namun siapa sangka, sebuah bakeri yang kononnya menjual produk gluten-free, dairy-free, vegan dan egg-free rupa-rupanya menipu pelanggan demi keuntungan semata-mata.
Segalanya terbongkar selepas seorang wanita berkongsi pengalaman ngeri apabila anaknya yang berusia 17 bulan mengalami reaksi alergi teruk selepas memakan roti daripada bakeri berkenaan.
Menurut wanita itu, anaknya memang mempunyai sejarah ekzema sejak usia tiga bulan, dan dia amat berhati-hati dalam pemilihan makanan. Diet ketat diamalkan seisi keluarga bagi mengelak bahan seperti gandum, tenusu dan telur, antara pencetus utama alergi bayi.
Namun, sebaik anaknya menjamah roti yang disangka selamat, ruam merah mula timbul di seluruh badan. Risau dengan keadaan tersebut, si ibu membawa anaknya menjalani pemeriksaan lanjut. Keputusan ujian alergi mengejutkan apabila reaksi teruk itu berpunca daripada gandum!
Rupanya Produk Dibeli Dari Penjual Lain, Dibungkus Semula

Hasil siasatan mendapati, bakeri tersebut tidak pun menghasilkan produk sendiri. Sebaliknya, mereka membeli roti dan kek daripada beberapa peniaga lain, kemudian membungkus semula produk itu dengan label jenama sendiri. Apa yang menimbulkan kemarahan ramai adalah kedai itu mendakwa ia bebas gluten, tenusu, telur dan berasaskan tumbuhan.
Hakikatnya, semua produk berkenaan mengandungi bahan yang sama sekali tidak sesuai untuk individu yang mempunyai alergi atau masalah intoleransi makanan.
Tindakan tidak bertanggungjawab ini bukan sekadar menipu pelanggan, tetapi boleh membahayakan nyawa mereka yang menghidap alergi teruk. Sekali tersilap makan, kesannya bukan sekadar ruam atau gatal malah boleh membawa kepada serangan anafilaksis yang mengancam nyawa.
Kes ini menjadi peringatan penting kepada pengguna agar tidak mudah percaya pada label produk, sebaliknya periksa sendiri bahan yang digunakan atau minta pengesahan terus daripada pengeluar. Dalam dunia yang semakin mementingkan gaya hidup sihat, kejujuran dalam perniagaan makanan sepatutnya menjadi asas utama bukan sekadar strategi pemasaran.
*Jadi, hati-hati semasa membeli ya!
Baca juga: Bayi Sawan Tiba-Tiba, Ibu Menangis Bawa Kereta, Pemandu Lain Tak Bagi Laluan Walaupun Double Signal!
Sumber: IG @feliz88eliz
