Jantung tiba-tiba laju semasa bersenam bukanlah perkara yang boleh dianggap ringan. Ramai menyangka ia tanda tubuh sedang ‘bekerja kuat’, sedangkan sebenarnya ia mungkin amaran bahawa badan sedang berada di luar kapasiti normal.
Menurut perkongsian oleh Arif Sukri, Certified Bodyweight Fitness Instructor di bawah National Association for Strength and Conditioning Research (NASC), situasi ini boleh membahayakan jika tidak ditangani dengan betul.
Baca juga: Petua Daun Rambutan Zaman Moyang Viral Semula! Rupanya Bantu Rawat Panas Kepala, Gatal Kulit & Bisul
JANTUNG TIBA-TIBA LAJU SEMASA BERSENAM, PETANDA KENA LEBIH PEKA!
Beliau menasihatkan agar orang ramai lebih peka terhadap tanda-tanda degupan luar biasa dan mengambil langkah segera seperti berikut:
1. Pantau kadar denyutan jantung
Apabila jantung berdegup terlalu laju, itu mungkin petanda kadar denyutan sudah melebihi “zon selamat”. Bila capai 85–90% daripada kadar maksimum, badan akan mula mengalami tekanan dan kekurangan oksigen.
Gunakan jam pintar (smartwatch) atau aplikasi sukan untuk memantau kadar degupan. Sasaran terbaik ialah antara 60–80% kadar maksimum agar senaman kekal dalam tahap selamat.
2. Pastikan cukup tenaga dan air
Jantung terpaksa bekerja lebih keras apabila badan kekurangan tenaga atau air. Keadaan ini menjadikan darah lebih pekat, meningkatkan tekanan, dan memaksa jantung mengepam dengan lebih kuat.
Sebelum bersenam, ambil makanan ringan berkarbohidrat ringkas seperti pisang, roti gandum, atau kurma serta minum segelas air supaya tubuh bersedia.
3. Jangan tahan nafas ketika bersenam
Ramai yang tanpa sedar suka menahan nafas semasa mengangkat berat atau berlari pecut, tetapi ia boleh menyebabkan paras oksigen ke otak menurun mendadak.
Gunakan teknik betul iaitu hembus nafas ketika menolak dan tarik nafas ketika menurunkan. Ia membantu pengaliran oksigen dan mengelak rasa berpusing atau mahu pitam.
4. Periksa kesihatan jantung dan tekanan darah
Kadangkala degupan jantung luar biasa bukan disebabkan senaman, tetapi berpunca daripada tekanan darah tidak stabil atau masalah jantung tanpa disedari.
Jika sering rasa dada sempit, berdebar pelik atau cepat penat, buat pemeriksaan ECG dan tekanan darah sebelum bersenam dengan intensiti tinggi. Lebih baik tahu awal daripada terdedah kepada serangan jantung senyap (silent heart attack).

Gambar hiasan Jcomp.
5. Elak bersenam ketika terlalu letih atau berpuasa lama
Apabila badan kekurangan tenaga, paras gula darah akan cepat menurun semasa bersenam. Ini menyebabkan jantung berdegup laju kerana cuba menampung kekurangan tenaga tersebut.
Jika berpuasa atau belum makan, pilih senaman ringan seperti berjalan, regangan, atau yoga. Jangan paksa diri melakukan aktiviti berat.
6. Pastikan elektrolit mencukupi
Apabila banyak berpeluh, tubuh kehilangan natrium, kalium dan magnesium, iaitu mineral penting untuk kestabilan jantung dan otot.
Selepas bersenam, minum air yang cukup atau ambil sumber elektrolit semula jadi seperti air kelapa, minuman isotonik atau buah pisang. Ini membantu mengelakkan degupan tidak stabil dan kejang otot.
7. Bersenam mengikut kemampuan sendiri
Setiap individu mempunyai tahap kesihatan dan stamina yang berbeza. Jika sudah lama tidak aktif, mulakan dengan senaman ringan dahulu.
Elakkan terus berlari pecut atau melakukan beban berat tanpa persediaan. Ingat, slow and steady lebih selamat dan berkesan dalam jangka panjang.
Kesimpulan
Jika jantung tiba-tiba laju ketika bersenam, itu bukan tanda anda kuat, sebaliknya tubuh sedang memberi isyarat amaran. Dengarkan badan anda, rehat jika perlu dan dapatkan nasihat doktor sekiranya simptom berterusan.
Sumber: Arif Sukri
FT Image: SkelDry

