Euforia Bola 2026
Asuh

Jangan Terlalu ‘Sumbat’ Anak Dengan Macam-Macam Kelas, Zaman Kanak-Kanak Perlu Dinikmati..

ZAMAN KANAK KANAK

Zaman kanak kanak sepatutnya menjadi fasa paling bebas dan bermakna dalam kehidupan, namun realitinya hari ini semakin ramai anak kecil dibebani dengan jadual pembelajaran yang padat seawal usia prasekolah.

Kelas membaca, bahasa Mandarin, robotik, mengaji dan aktiviti sukan disusun rapi, seolah-olah masa kecil mereka perlu dimanfaatkan sepenuhnya tanpa ruang untuk berehat.

Baca juga: 7 Tabiat ‘Pelik’ Ibu Ayah Ini Boleh Lahirkan Anak Genius, Bukan Semata-Mata Hafal Buku!

JANGAN ‘RAMPAS’ ZAMAN KANAK KANAK, BIARKAN SI KECIL BERMAIN

ZAMAN KANAK KANAK

Freepik

Sebahagian ibu bapa melihat pendekatan ini sebagai satu kelebihan awal atau ‘head start’ demi masa depan anak-anak. Namun, persoalan yang jarang ditanyakan ialah sama ada usaha mempercepatkan proses pembelajaran ini secara tidak sedar telah menyingkatkan fasa paling penting dalam kehidupan mereka, iaitu zaman kanak-kanak itu sendiri.

Hakikatnya, dunia seorang kanak-kanak sepatutnya dipenuhi dengan imaginasi, penerokaan dan permainan bebas. Bermain bukan sekadar aktiviti mengisi masa lapang, sebaliknya merupakan asas utama kepada perkembangan otak, emosi dan sosial mereka.

Melalui bermain, kanak-kanak belajar menyelesaikan masalah, mengawal emosi, berinteraksi dengan persekitaran dan membina kreativiti secara semula jadi.

Apabila kanak-kanak dipaksa duduk berjam-jam mengikuti pembelajaran akademik yang berat pada usia terlalu awal, beberapa kesan negatif boleh berlaku.

Proses pembelajaran yang seharusnya menyeronokkan bertukar menjadi satu tekanan. Lebih membimbangkan, masa kebersamaan antara anak dan ibu bapa turut berkurang, digantikan dengan kejaran terhadap pencapaian yang sebenarnya boleh dicapai secara berperingkat.

ZAMAN KANAK KANAK

Freepik

Seorang kanak-kanak tidak akan gagal dalam kehidupan hanya kerana dia mula membaca pada usia tujuh tahun. Namun, dia mungkin kehilangan sesuatu yang lebih besar sekiranya dia tidak pernah merasai kegembiraan berlari tanpa arah, bermain dengan tanah, atau membina dunia khayalan ketika usianya masih kecil.

Ibu bapa perlu menyedari bahawa mengejar kecemerlangan akademik terlalu awal tidak semestinya menjamin kejayaan jangka panjang. Masa depan anak-anak memang penting, tetapi kesejahteraan emosi dan perkembangan jiwa mereka pada hari ini tidak harus dipandang remeh.

Biarkan kanak-kanak bermain, membuat kesilapan dan belajar melalui pengalaman. Suatu hari nanti, mereka akan membesar menjadi orang dewasa yang perlu memikul tanggungjawab dan keseriusan hidup. Janganlah kita merampas satu-satunya fasa dalam kehidupan mereka yang sepatutnya bebas dan penuh keceriaan.

Baca juga: Tak Sangka Teknik ‘Berus’ Badan Buat Anak Picky Eater Terus Boleh Makan Apa Sahaja, Ibu Ini Kongsi Rahsia!

Sumber: Facebook Hamil Dalam 3 Bulan

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×