Euforia Bola 2026
Inspirasi

Berjaya Namakan 30 Serangga Dalam Seminit, Kanak-Kanak 2 Tahun Pahat Namanya Dalam Malaysia Book of Records!

buku rekod

Shayan Ishaan Hari Haran, seorang kanak-kanak berusia 2 tahun, tidak menyangka hari itu akan menjadi hari yang mengubah namanya dalam buku rekod Malaysia. Bagi Shayan, ia cuma peluang untuk dapat pergi ke taman permainan kegemarannya.

“Dia sangat teruja sebab memang suka pergi sana,” kata ibunya, Harathi Dorairaja sambil tersenyum.

Baca juga: Baru Habis ‘Trial SPM’ Aaron Darwisy Disahkan Kanser Tulang, Cemerlang Raih 8A Walau Ambil Ujian Di Hospital

SHAYAN BERUSIA 2 TAHUN PAHAT NAMA DALAM BUKU REKOD MALAYSIA

buku rekod

Gambar Harathi Dorairaja: Meluangkan masa bersama ibu bapa merupakan antara rutin penting dalam kehidupan harian Shayan di rumah.

Apa yang Shayan tidak tahu, dia sedang cuba memecahkan rekod Malaysia dengan menamakan 30 jenis serangga dalam masa 60 saat.

“Saya cakap dekat dia, ‘Shayan, kena cepat macam Super Mario!’ Dan kalau tak berjaya pun, tetap dapat gula-gula jelly.

“Dia cuma jawab, ‘Okay, Mama.’ Dia rileks je – tapi saya sendiri malam sebelum tu tak tidur sebab risau!” kata Harathi, 37 tahun.

Latihan dan kejayaan luar biasa

Selepas tiga bulan latihan dengan melihat beratus-ratus gambar serangga dan belajar nama penuh, Shayan memulakan percubaannya bersama ibu dan pegawai dari Malaysia Book of Records (MBR) berada di situ.

“Awak tak percaya, dia cuma ambil dua saat setiap gambar, dan sebut semua serangga dengan tepat,” kata Harathi. “Rekod sebelum ini cuma 25. Dia dapat 30 dan dia nak teruskan lagi!”

Keluarga itu hanya memerlukan satu percubaan sahaja. “Saya terharu sangat. Badan saya sampai terketar-ketar,” katanya. “Dia tahu dia buat sesuatu yang istimewa dan tak sabar nak beritahu nenek dan datuknya.”

Baca juga: [VIDEO] Remaja Disleksia Tular Jual Air Tembikai, Jadi Tumpuan Guna Konsep Unik “Bayar Seikhlas Hati”!

buku rekod

Gambar Harathi Dorairaja: Pasangan ini menjadikan setiap aktiviti luar sebagai peluang pembelajaran untuk Shayan.

Gaya didikan sokong minat semula jadi anak

Di rumah mereka di Sendayan, pencapaian Shayan menunjukkan gaya didikan yang menekankan rasa ingin tahu dan keseimbangan. Harathi, seorang doktor gigi yang sedang sambung PhD dalam kesihatan pergigian awam, percaya pada menyokong minat semula jadi anak.

Dia perasan awal minat Shayan terhadap haiwan. Pernah satu ketika, Shayan membetulkan ibunya, bahawa serangga yang dia panggil capung sebenarnya damselfly.

“Saya semak, memang betul. Saya terus minta maaf dekat dia,” kata Harathi.

Belajar bagi Shayan berlaku di mana-mana seperti melalui buku, kartun, aplikasi telefon pintar, malah ketika berjalan di taman. Tapi yang sama pentingnya ialah bermain.

“Dia habiskan masa di taman permainan, berbasikal, berenang, dan main gusti dengan ayahnya,” kongsi Harathi. “Dia juga suka kereta mainan, koleksinya memang banyak.”

Bagi Harathi, momen-momen kecil inilah yang paling bermakna. “Setiap pagi dia peluk saya dan kata, ‘Good morning, Mama, you are my sunshine.’ Itu sangat istimewa.”

Inspirasi untuk ibu bapa lain

Yang paling penting, Harathi berharap Shayan membesar dengan rasa disokong dan disayangi. Dia juga menasihati ibu bapa lain supaya menghargai minat anak, walaupun kelihatan luar biasa.

“Ada yang risau kalau anak suka muzik, terus cuba alihkan minat mereka ke benda lain. Tapi minat boleh berubah. Yang penting jangan patahkan semangat mereka,” katanya.

Bagi Shayan pula, ganjaran yang dijanjikan iaitu lawatan ke taman permainan akan dinikmatinya tidak lama lagi. Dan bagi kanak-kanak dua tahun, itu mungkin pencapaian terbaik dari semuanya.

Baca juga: “Kami Datang Nak Beraya”- Tak Dapat Balik Kampung, Pesakit Ajak Jururawat Beraya Dalam Wad Buat Ramai Tersenyum

Sumber: FMT

FT Image: Harathi Dorairaja

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×