Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui satu kenyataan media yang dimuat naik di Facebook rasminya malam tadi telah mengumumkan bahawa tidak mengiktiraf ‘Muslim Choice’ sebagai penanda halal.
Malah, menegaskan bahawa istilah itu atau mana-mana ungkapan seumpamanya, tidak boleh dianggap sebagai perakuan halal rasmi di Malaysia.
Baca juga: Ini 14 Kawasan ‘Hotspot’ Gempa Bumi Di Malaysia Yang Dikenal Pasti, Pemaju Perlu Beri Perhatian!
JAKIM TAK IKTIRAF MUSLIM CHOICE

Gambar NSTP: Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee.
Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata, penggunaan istilah yang diperkenalkan oleh Pasukan Pemantau Mesra Muslim (MFW) itu boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat terhadap status halal sesuatu produk atau premis.
Menurut beliau, MFW mendakwa pengiktirafan ‘Muslim Choice’ bertujuan memberi keyakinan kepada pengguna Muslim terhadap produk dan premis yang dikatakan bersih, selamat, berkualiti serta menepati prinsip Islam.
Namun, JAKIM menegaskan langkah itu tidak mempunyai asas pengiktirafan rasmi.
“Hanya JAKIM dan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) atau Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) yang diberi kuasa mengeluarkan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) serta kebenaran penggunaan logo Halal Malaysia,” katanya.
Tambah beliau, sebarang penggunaan logo, simbol, istilah atau kenyataan yang membawa maksud halal tanpa kebenaran pihak berkuasa sah adalah tidak dibenarkan dan menyalahi undang-undang di bawah Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.
Sirajuddin turut menjelaskan, tindakan sebegitu boleh menjejaskan integriti sistem pensijilan halal negara serta mengelirukan pengguna Muslim yang mempercayai kesahihan label tersebut.

Dalam kenyataan itu juga, beliau memaklumkan JAKIM pernah mengadakan pertemuan dengan MFW pada 23 Ogos 2024 untuk membincangkan isu berkenaan dan menasihati pertubuhan itu menghentikan aktiviti pengiktirafan ‘Muslim Choice’.
Bagaimanapun, menurutnya, pihak berkuasa agama negeri menerima aduan bahawa MFW masih meneruskan aktiviti tersebut walaupun telah dimaklumkan mengenai kekeliruannya.
JAKIM menasihatkan semua pengusaha dan pengguna agar hanya merujuk kepada logo Halal Malaysia yang sah dikeluarkan oleh pihak berkuasa bagi mengelakkan kekeliruan dan memastikan keaslian status halal produk atau premis.
Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)
FT Image: Harian Metro / Buletin TV3
