Susunan cuti sekolah 2026 ternyata mencuri perhatian ramai, khususnya dalam kalangan guru. Dengan cuti penggal yang panjang serta beberapa cuti umum yang jatuh berhampiran hujung minggu, ramai menyifatkan tahun hadapan sebagai antara tempoh paling ‘lega’ dari segi bilangan hari persekolahan.
SUSUNAN CUTI SEKOLAH 2026 BERI NAFAS ‘LEGA’ BUAT GURU, DISEMBER 4 HARI SAJA BEKERJA!

Bukan sekadar memudahkan perancangan rehat dan masa bersama keluarga, keadaan ini secara tidak langsung mengurangkan jumlah hari persekolahan dalam beberapa bulan tertentu sepanjang tahun hadapan.
Perkara itu mula menjadi bualan selepas seorang guru dikenali sebagai @DhaniahZahari berkongsi satu paparan menarik di aplikasi Threads mengenai Bilangan Hari Persekolahan Tahun 2026.
Perkongsian tersebut memaparkan pecahan jumlah hari persekolahan mengikut bulan, sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan warga maya, termasuk guru dan ibu bapa.
Antara yang paling mencuri perhatian, beberapa bulan dilaporkan hanya mempunyai 15 hari persekolahan seperti Januari, Februari dan Mac. Malah, Disember disebut hanya mempunyai empat hari persekolahan, menjadikannya antara bulan paling singkat dari segi sesi pembelajaran.
Sementara itu, April dan Oktober masing-masing mencatatkan 22 hari persekolahan, Julai sebanyak 23 hari, manakala Ogos dan November pula mempunyai 19 hari. Secara keseluruhan, jumlah hari persekolahan bagi tahun 2026 direkodkan sebanyak 202 hari.
Bagaimanapun, paparan tersebut turut disertakan nota bahawa jumlah berkenaan tidak termasuk cuti peristiwa yang lazimnya ditetapkan oleh pihak sekolah.
“Kebahagiaan cikgu-cikgu untuk tahun ini,” tulis guru berkenaan di ruangan kapsyen.
Perkongsian itu pantas mengundang pelbagai reaksi netizen, malah ada yang menyifatkan tahun 2026 sebagai ‘tahun emas’ buat warga pendidik.
Tidak kurang juga yang mengingatkan bahawa di sebalik angka hari persekolahan yang kelihatan sedikit, tugas guru sebenarnya jauh lebih mencabar.
“Sebenarnya yang tak ada dalam senarai tu lagi patut cikgu-cikgu takut. Segala hari anugerah, hari sukan, hari merdeka, restu ilmu, kelas tambahan, perkampungan ilmu, segala mak nenek latihan,” ujar netizen.

Foto hiasan AI.
Baca juga: “Buku RM2 Tapi Nilainya Besar”– Ibu Sebak Guru KAFA Koyak Buku Dibeli Anak Guna Duit Simpanan
Sumber: Kosmo, Threads @dhaniahzahari
