Memiliki anak-anak adalah anugerah, tetapi apabila mereka lahir dengan keperluan khas, perjalanan membesarkan mereka menjadi penuh cabaran, pengorbanan, dan juga keajaiban. Inilah kisah seorang ibu yang membesarkan tiga anak istimewa diagnosis dengan Autism dan ADHD.
Kisah ini tular di laman media sosial dan mendapat maklum balas dari ramai ibu bapa yang mempunyai anak istimewa.
Baca juga: “Rupanya Aku Autistik”- Wanita Kongsi Perjalanan Disahkan Autism Dewasa Yang Tak Nampak Pada Luaran
BESARKAN 3 ANAK ISTIMEWA, KELAHIRAN PRA-MATANG & PERMULAAN SUKAR

Berdasarkan perkongsiannya, ketiga-tiga anaknya lahir pramatang, akibat premature contraction seawal 26 minggu kandungan. Doktor sendiri tidak pasti mengapa mereka lahir awal dan sepanjang kehamilan, dia diberi pelbagai ubat untuk menahan kelahiran dan menguatkan bayi.
- Umair berjaya bertahan sehingga 37 minggu, tetapi mengalami pneumonia pada usia 2 bulan.
- Uwais dan Ukasyah lahir pada 32 & 33 minggu, dengan berat hanya 1.8kg, menghadapi jaundice berpanjangan dan kesukaran menyusu kerana otot motor mereka lemah.
Ketiga-tiga mereka terpaksa diberi susu melalui sudu atau syringe sebelum akhirnya menggunakan susu formula khas pramatang. Menurut ibu ini lagi, setiap anaknya mempunyai personaliti unik sejak lahir:
- Uwais (ADHD) lasak, terlalu aktif sehingga kerap cedera.
- Umair pasif dan under-sensory, jarang menangis walau sakit, membuatkan ramai menyangka dia ‘baby baik’.
- Ukasyah high-demand baby, mudah menangis untuk hampir segala-galanya.
“Kehidupan kami dipenuhi perjalanan ke klinik dan hospital. Cedera kecil dan pneumonia adalah cabaran yang berulang, manakala masalah mata dan pendengaran menambah kerumitan tumbesaran mereka,” tulisnya.
Faktor Penyumbang: Pra-Matang, Genetik, dan Ubat

Foto hiasan: Freepik
Banyak orang mudah menyalahkan vaksin atau ubat tertentu, tetapi pengalaman ibu dan anak-anak ini menunjukkan punca Autism dan ADHD adalah multifaktor dari:
- Kelahiran pra-matang
- Genetik (dalam keluarga, terdapat ADHD, Asperger, Dyslexia, Down Syndrome)
- Pendedahan kepada ubat tertentu semasa kandungan
Menariknya, ramai ibu bapa kepada anak Autistic menunjukkan ciri-ciri Autism atau ADHD, terutamanya ayah. Ini menunjukkan bahawa faktor genetik memang memainkan peranan.
Menurut ibu ini, sejak bayi lagi ketiga-tiga anak lambat dalam perkembangan fizikal dan kemahiran seperti meniarap, merangkak, duduk, berjalan, bercakap, dan makan makanan pejal semuanya lebih lambat. Namun, pengalaman ini mengajar ibu ini tentang kesabaran, empati, dan keikhlasan dalam mendidik mereka.
“Kini, anak-anak saya sudah berusia 15, 14, dan 9 tahun. Alhamdulillah, mereka boleh bergaul, berkomunikasi, dan bersekolah seperti biasa. Malah, mereka telah mencapai pencapaian akademik dan sukan di peringkat antarabangsa seperti anak termuda di Malaysia menerima sijil Junior Astronomi dari London Board Examination & UTM,” kata ibu.
Pengalaman ini mengajar bahawa anak-anak istimewa ini adalah anugerah. Mereka membawa rahmat, mengajar kesabaran, kasih sayang, dan menjadikan kehidupan lebih bermakna. Jadi, elakkan menyebarkan kebencian atau menyalahkan orang lain, termasuk mengenai vaksin.
“Anak-anak special needs adalah anak syurga, dan kita yang dipilih untuk membimbing mereka. Setiap cabaran adalah pengajaran, setiap kejayaan adalah nikmat..” pesan ibu ini.
Baca juga: Permohonan Subsidi Yuran Pembelajaran Kanak-Kanak Autisme Dibuka, Ini Cara Nak Dapat RM500
Sumber: Fatimah Muzaffar
