Euforia Bola 2026
Asuh

Anak Autisme 11 Tahun Curi Perhatian Hasilkan Tulisan Khat Cantik Macam ‘Printed’! Gigih Belajar Sendiri

tulisan khat

Seorang ibu berkongsi di Threads tentang anak autisme lelakinya berusia 11 tahun yang kini begitu obses dengan seni tulisan khat. Menurutnya, setiap kali ada masa lapang, anaknya pasti akan duduk berlatih menulis sehingga hasil tulisan semakin kemas, lancar dan tajam bentuknya.

Baca juga: Tular ‘Ustazah AI’ Raih Ratusan Ribu Pengikut, Netizen Dakwa Ada Banyak Salah Fakta..Bimbang Ilmu Agama Mengelirukan!

ANAK AUTISME 11 TAHUN BELAJAR TULISAN KHAT SENDIRI

tulisan khat

Foto: Threads @arlizha.arip

Menurut si ibu, sebelum ini anaknya pernah mempunyai minat yang sangat mendalam terhadap aktiviti mencipta dan mengedit video. Malah, fasa itu berlarutan selama kira-kira empat tahun.

Namun sejak tahun lalu, minat anak istimewa itu berubah secara tiba-tiba apabila dia mula memberi perhatian sepenuhnya kepada seni khat.

Sejak daripada itu, hampir setiap hari dihabiskan dengan berlatih menulis dan memperkemaskan bentuk huruf.

Perubahan minat itu bukan sahaja membuatkan si ibu terkejut, malah dia juga bersyukur kerana anaknya menunjukkan kesungguhan luar biasa dalam bidang yang cukup halus dan memerlukan fokus tinggi.

Hari-hari berlatih, tulisan makin smooth dan kemas

Ibu berkenaan turut berkongsi bahawa tulisan khat anaknya kini semakin “smooth”, malah bentuk tulisan juga kelihatan semakin tajam dan kemas hasil latihan yang konsisten.

Apa yang lebih menarik, anaknya belajar secara sendiri menerusi video-video di YouTube.

Tanpa mengikuti kelas formal, dia tetap berusaha memahami teknik dan bentuk tulisan khat melalui pemerhatian serta latihan berulang kali.

Bagi menyokong minat tersebut, si ibu juga menyediakan beberapa keperluan asas termasuk pensel mekanikal yang digunakan anaknya untuk menulis khat.

Selain itu, dia turut membeli pengasah khas untuk mata khat bagi memudahkan proses latihan.

Turut belajar tulisan khat Thuluth secara kendiri

tulisan khat

Foto: Threads @arlizha.arip

Bukan sekadar mencuba asas tulisan khat biasa, anak itu juga difahamkan sudah mula belajar sendiri salah satu gaya khat yang lebih mencabar iaitu khat Thuluth.

Khat Thuluth terkenal dengan bentuk huruf yang artistik, lengkungan yang kemas dan susunan yang memerlukan ketelitian tinggi.

Ia bukanlah sesuatu yang mudah untuk dikuasai, apatah lagi jika dipelajari secara kendiri.

Namun bagi ibu ini, ketekunan anaknya memang sesuatu yang mengagumkan.

Katanya, tahap ketelitian anak istimewa kadangkala melangkaui orang biasa, terutama apabila mereka benar-benar fokus pada sesuatu yang diminati.

Netizen kagum dengan kesungguhan anak autisme

Perkongsian itu turut mengundang rasa kagum ramai netizen yang tersentuh melihat kesungguhan kanak-kanak tersebut mendalami seni khat pada usia muda.

Dalam kalangan anak-anak autisme, minat mendalam terhadap sesuatu bidang atau aktiviti sememangnya bukan perkara asing.

Malah, dengan sokongan keluarga serta ruang untuk mereka berkembang mengikut minat sendiri, bakat seperti ini boleh terus diasah dan mungkin menjadi satu kebolehan yang sangat bernilai pada masa hadapan.

Perkongsian si ibu ini menjadi satu peringatan bahawa setiap anak mempunyai keunikan dan potensi masing-masing.

Kadangkala, sesuatu minat yang bermula sebagai “obsesi” kecil boleh berkembang menjadi satu bakat yang luar biasa jika dipupuk dengan sabar dan penuh sokongan.

Baca juga: Trend Bawa Bekal Makanan Ke Pejabat Makin Popular, Ini Sebab Mengapa Ramai Mula Pilih Cara Ini

Sumber: Threads @arlizha.arip

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×