Euforia Bola 2026
Nur

“Tak Salah Mereka Turut Serta,” Penjelasan Mufti Tentang Hukum Wanita Sertai Misi Flotila G4z4

Misi Flotila

Misi Flotila ke G4z4 kembali menjadi perhatian apabila sekumpulan aktivis kemanusiaan, termasuk golongan wanita, berani menyertai rombongan tersebut untuk menghantar bantuan makanan serta ubat-ubatan.

Antara nama yang turut serta ialah selebriti dan aktivis terkenal seperti Zizi Kirana, Ardell Aryana dan Farah Lee yang membawa amanah rakyat Malaysia demi meringankan beban saudara seagama di bumi bergolak itu.

Baca juga: Isteri Tak Teman Suami Makan, Dosa Ke? Ini Penjelasan Ustaz Azhar Idrus

HUKUM  WANITA BERJIHAD SERTAI MISI FLOTILA G4Z4

Misi Flotila

Gambar oleh @sumudnusantaraofficial dan @iyliabqs .

Namun begitu, penyertaan wanita dalam misi berisiko tinggi ini menimbulkan persoalan dalam kalangan masyarakat. Ada yang bimbang mengenai keselamatan dan ada juga yang tertanya-tanya dari sudut hukum syarak.

Bagi menjawab perkara ini, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan tampil memberikan penjelasan, di mana hukum wanita menyertai Misi Flotila adalah harus dan tidak salah.

Pada dasarnya, kewajipan berjihad dengan mengangkat senjata tidak dituntut ke atas wanita kerana terdapat 7 syarat yang ditetapkan oleh para ulama iaitu Islam, baligh, berakal, merdeka, lelaki, sihat dan berkemampuan untuk berperang.

Walau bagaimanapun, zaman kini memerlukan kehadiran mereka dalam beberapa aspek penting, khususnya membantu golongan wanita dan kanak-kanak yang terkesan akibat peperangan.

Oleh itu, penyertaan mereka dalam bentuk sokongan logistik, perubatan, psikologi dan kemanusiaan adalah terpuji serta menepati tuntutan agama.

Baca juga: Bila Terserempak Makhluk Halus Dalam Tandas, Jangan Azan Tapi Baca Doa Ini Baru Tepat!

Misi Flotila

Gambar oleh @farahlee_ .

Dalam sejarah Islam, tokoh-tokoh wanita seperti Saidatina Aisyah dan Ummu Sulaim turut terlibat dalam membantu para pejuang ketika Perang Uhud.

Peranan ini bukanlah sebagai barisan hadapan mengangkat senjata, tetapi memberi bantuan moral, merawat yang cedera dan memastikan kelangsungan perjuangan berjalan dengan baik.

Situasi itu membuktikan bahawa penglibatan wanita dalam jihad kemanusiaan mempunyai asas yang kukuh dalam syarak.

Baca juga: Netizen Puji & Sanjung Suami Tikam Skandal Jadi Hero, Tapi Islam Benarkan Ke ‘Honor Killing’ Ini?

bantuan kemanusiaan Misi Flotila

Gambar oleh @sumudnusantaraofficial (1) & (2) .

Justeru itu, mufti turut berkongsikan beberapa garis panduan penglibatan wanita dalam usaha jihad seperti yang dilihat pada hari ini. Syarat-syaratnya adalah seperti berikut:

  1. Hendaklah melaksanakan peranan yang signifikan selain daripada berperang seperti menyampaikan bantuan makanan, ubat-ubatan serta keperluan asasi yang sangat diperlukan dalam usaha jihad.
  2. Memastikan keselamatan dan keamanan dalam melaksanakan usaha tersebut terjamin dan dilindungi oleh organisasi yang tersusun dan mempunyai hubungan dengan pihak-pihak yang bertanggungjawab seperti pemerintah dan kerajaan.
  3. Menutup aurat dan memelihara maruah diri daripada sebarang perkara yang menimbulkan fitnah.

Oleh yang demikian, jika syarat-syarat ini dipenuhi maka hukum penglibatan wanita dalam usaha jihad seperti ini adalah harus dan dibenarkan. Dalam hal ini sokongan dan dokongan harus diberikan kepada para peserta yang terlibat secara sukarela tersebut bagi menjayakan misi jihad yang sangat penting ini.

Kesimpulannya, walaupun tidak diwajibkan ke atas wanita untuk turun berjuang secara langsung di medan perang, sumbangan mereka melalui Misi Flotila ke Palestin tetap dianggap mulia.

Dengan syarat menepati garis panduan syarak, usaha ini bukan sahaja harus bahkan berpotensi menjadi amalan yang mendapat ganjaran pahala di sisi Allah SWT.

Tambahan pula, rakyat Palestin kini berada dalam keadaan sangat mendesak dan memerlukan bantuan daripada sesiapa sahaja yang mampu menghulurkan pertolongan.

Baca juga: 15 Penuntut UPSI Dalam Nahas Bas Di Gerik Dikategorikan Syahid Akhirat Oleh Mufti

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

FT Image: Instagram @sumudnusantaraofficial (1) & (2)

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×