Euforia Bola 2026
Nur

Hukum Lelaki Dewasa Autisme Terpeluk, Tercium Atau Terpegang Wanita Bukan Mahram, Adakah Tetap Berdosa?

autisme dewasa

Dalam masyarakat, masih ramai yang keliru tentang bagaimana hukum Islam diaplikasikan kepada individu autisme dewasa, khususnya apabila mereka sudah matang segi fizikal tetapi masih memiliki pemikiran seperti kanak-kanak.

Persoalan sering timbul, adakah mereka berdosa jika menyentuh bukan mahram? Wajibkah mereka solat atau berpuasa?

Baca juga: 15 Senarai Tadika/Pusat Terapi Seluruh Malaysia Untuk Anak Autisme & Keperluan Khas

Hukum Bagi Muslim Autisme Dewasa Bersentuhan/Peluk: Apa Perlu Kita Faham

autisme dewasa

Foto: freepik

Menurut saudara Nur Arif, Ikon Anak Istimewa Selangor dan pelajar Sarjana Al-Qur’an dan Sunnah, untuk menjawab persoalan ini, kita kena faham dulu bahawa ada dua jenis hukum yang terpakai bagi orang Islam yang menghidap autisme.

Menurut satu pandangan dalam kitab Al-Bahr al-Raiq, disebutkan prinsip fiqh (hukum Islam) berbunyi: “Kanak-kanak pada akal, dewasa pada tubuh.” Maksudnya, ada orang yang walaupun cara fikirnya macam kanak-kanak, tapi tubuh badannya sudah matang dan cukup sifat seperti orang dewasa.

Contohnya, bagi seorang dewasa autistik, mungkin dia sudah baligh dan tubuhnya besar seperti orang lain, tetapi akalnya tidak berkembang setaraf umur sebenar. Dalam kes ini, hukum yang berkaitan dengan syahwat atau hal-hal seksual (seperti sentuh, aurat, pandangan, mandi wajib) akan ikut hukum orang dewasa. Sebab tubuhnya sudah dewasa, walaupun akalnya masih seperti budak.

Namun, bagi ibadah atau perkara yang perlukan kefahaman dan niat (seperti zakat, haji, solat, puasa), hukumnya sama seperti kanak-kanak dan tidak diwajibkan jika belum cukup faham.

Jadi rumusannya:

– Perkara berkaitan syahwat – ikut hukum orang dewasa

– Perkara yang perlukan kefahaman akal – ikut hukum kanak-kanak

SENTUHAN ADA NAFSU ATAU TIDAK?

autisme dewasa

Foto hiasan: freepik

Contoh situasi: Kalau seorang pemuda autistik peluk wanita bukan mahram, adakah dia berdosa?

Jawapannya: Tidak berdosa, sebab dia belum dianggap mukallaf (belum wajib menanggung dosa/pahala). Tapi ibu bapa atau penjaga perlu ajar dan cegah anak daripada buat begitu.

Kadang-kadang, pelukan itu bukan sebab nafsu pun tapi mungkin sebab rindu pada kakak seperti perbincangan yang tular di media sosial. Tapi secara fizikal, sentuhan boleh tetap membangkitkan syahwat. Kajian juga tunjukkan bahawa remaja autistik mungkin tidak faham peraturan sosial, tetapi mereka tetap ada keinginan seksual seperti orang lain.

Kalau berlaku sekali-sekala kerana nak elak keadaan lebih buruk (seperti meltdown), boleh dimaafkan. Tapi jangan dijadikan kebiasaan. Didik mereka seperti ahli syurga yang jaga batas pergaulan.

Kefahaman ini penting, bukan sahaja untuk ibu bapa dan penjaga, tetapi juga masyarakat sekeliling agar lebih peka, berempati dan tahu bagaimana untuk membimbing mereka dengan cara yang betul. Wallahu a’lam.

Baca juga: ProjekMimpi: Anak Autisme Berjaya Hafaz 30 Juzuk Al-Quran Dalam 18 Bulan!

Sumber: Anna.sahadan, Nur Arif Ikon Anak Istimewa Selangor

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×