Euforia Bola 2026
Famili

“Bila Nampak Polis Kami Kena Kejar…”– Anak Autisme Menangis Tak Dapat Salam, Tak Sangka PDRM Datang Rumah Buat Kejutan!

anak autisme

Kadang-kadang, perkara kecil yang buat orang lain adalah biasa-biasa sebenarnya sangat besar maknanya buat sesetengah insan. Kisah seorang anak autisme yang terlalu meminati anggota polis hingga sanggup mengejar untuk bersalaman baru-baru ini mengundang rasa sebak dalam kalangan netizen.

Menerusi hantaran di TikTok oleh @lalashop_77, seorang ibu berkongsi minat mendalam anak lelakinya terhadap pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sehingga membuatkan mereka sering mengejar anggota polis semata-mata mahu melambai, bersalaman dan mencium tangan.

Baca juga: Angkara Tak Masak Suami Lafaz Talak 3, Lepas Hakim Selidik Rupanya Isteri Kepenatan Urus Anak Autisme

ANAK AUTISME TERLALU MINAT ANGGOTA POLIS, TERUJA BILA DAPAT JUMPA

anak autisme

“Assalamualaikum PDRM. Saya ada anak autisme. Dia minat sangat polis. Bila nampak polis dia nak salam cium tangan.

“Tapi bila kami nampak polis, kami kena kejar. Lepas itu anak saya nangis sebab tak dapat lambai atau tengok kereta polis.

“Boleh tak kami datang ke Balai Shah Alam kejap? Nak bagi anak saya tengok kereta polis, ambil gambar, dan salam cium tangan dengan abang polis,” luah Fatin Nabila Mohammad Amin menerusi hantaran yang dimuat naik di TikTok.

Luahan tersebut kemudiannya tular dan meraih perhatian ramai yang tersentuh dengan keikhlasan seorang ibu cuba menggembirakan anaknya.

Baca juga: “Dia Bagi Apa Yang Dia Ada…”- Murid Duduk Rumah Amal Beri Hadiah Buat Guru Sebak, Sampai Tak Sanggup Nak Pandang

Anak autisme tahap tiga terlalu minat polis

Kanak-kanak tersebut dikenali sebagai Muhammad Firdaus Al Fattah Muhammad Faris Izzuddin, 8, dikatakan cukup mengagumi anggota keselamatan dan sangat teruja setiap kali melihat polis bertugas.

Fatin Nabila berkata, anaknya yang merupakan penghidap autisme tahap tiga sering cuba mendekati anggota PDRM untuk bersalaman sebagai tanda hormat.

Malah, ibu kepada dua cahaya mata itu turut berkongsi bahawa dia tidak berkemampuan menghantar anaknya menjalani terapi dan percaya pengalaman seperti bertemu anggota polis sedikit sebanyak memberi kegembiraan buat anak kecil itu.

“Assalamualaikum semua. Terima kasih kerana sudi menerima anak saya dan menumpangkan kasih kepadanya kerana cita-citanya adalah untuk menjadi polis, walaupun hasrat itu mungkin tidak akan tercapai.

“Saya sendiri tidak mampu menghantarnya menjalani terapi. Mungkin dengan cara ini dapat membantu memberi kegembiraan dan menjadi terapi buat dirinya. Saya ingin meminta izin sekiranya anak saya dibenarkan bertemu anggota polis,” katanya lagi menerusi hantaran yang sama.

Baca juga: Pengalaman Ibu Sambut Puasa & Raya Bersama 2 Anak Istimewa, 14 Tahun Merantau Di Norway!

anak autisme

IPD Shah Alam santuni keluarga, datang sendiri ke rumah

Siapa sangka, perkongsian tersebut akhirnya mendapat perhatian pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam yang tampil menyantuni keluarga berkenaan.

Menurut Fatin Nabila, anggota polis telah hadir ke kediaman mereka dan kunjungan tersebut benar-benar menceriakan Muhammad Firdaus.

Difahamkan, kanak-kanak itu bukan sahaja berpeluang melihat kenderaan polis dengan lebih dekat, malah dapat menaikinya selain beramah mesra dengan anggota bertugas.

Tindakan penuh prihatin pasukan beruniform itu turut menerima pujian ramai warga maya yang menyifatkannya sebagai usaha murni dalam menyantuni kanak-kanak berkeperluan khas.

Dalam masa sama, Fatin Nabila turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang menyokong anaknya termasuk individu yang menghadiahkan pakaian seragam polis.

“Terima kasih kepada semua yang menerima dan menyayangi anak syurga saya seadanya. Minatnya terhadap pasukan ini memberi kegembiraan serta semangat positif dalam kehidupannya.

“Terima kasih juga kepada PDRM kerana memahami dunia kecil anak saya, menyantuninya dengan penuh kasih sayang dan menghadiahkan pengalaman yang amat bermakna,” katanya.

Menjengah ke ruangan komen, ramai turut mendoakan agar Muhammad Firdaus terus membesar dengan baik selain memuji keprihatinan anggota polis yang sudi meluangkan masa mencipta momen istimewa buat kanak-kanak tersebut.

@lalashop_77 Sesungguhnya, jasa dan keprihatinan tuan/puan bukan sekadar satu kunjungan, tetapi satu kenangan besar yang akan terpahat dalam hati anak ini selamanya. Terima kasih kerana memahami dunia kecilnya, menyantuni dengan penuh kasih sayang, dan memberi pengalaman yang sangat bermakna. Semoga setiap kebaikan yang ditabur dibalas dengan seribu rahmat dan perlindungan daripada Allah SWT. 🤍 insyallah kita jumpa lagi ##autismmalaysia #pdrm #pdrmterbaik🇲🇾 ♬ bunyi asal – Diari SYURGA💕

Sumber: TikTok @lalashop_77 (1) (2)

FT Image: TikTok @lalashop_77

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×