Euforia Bola 2026
Nur

Tiba-Tiba Terkunyah Sisa Makanan Terselit Celah Gigi Ketika Solat, Batal Atau Tak? Ini Penjelasan UAI

sisa makanan

Ketika menunaikan solat, ada kalanya seseorang menyedari terdapat sisa makanan yang masih melekat pada celah gigi atau berada di dalam mulut. Situasi ini sering menimbulkan persoalan, terutama apabila timbul rasa tidak selesa dan bimbang sisa makanan tersebut tertelan tanpa sengaja.

Menerusi satu perkongsian di Facebook, pendakwah terkenal, Azhar Idrus atau lebih dikenali sebagai Ustaz Azhar Idrus (UAI), menjelaskan hukum berkaitan pergerakan mulut dan sisa makanan ketika sedang menunaikan solat.

Baca juga: Panduan Doa Akhir Tahun & Awal Tahun Hijrah, Boleh Mula Baca Selepas Solat Asar Hari Ini (16 Jun)

BATAL KE KUNYAH SISA MAKANAN KETIKA SOLAT

SISA MAKANAN

Menurut UAI, seseorang yang mempunyai sisa makanan di dalam mulut ketika solat tidak dianggap batal solatnya selagi sisa tersebut tidak ditelan.

Perkara itu termasuklah jika sisa makanan berkenaan melekat pada celah gigi atau berada di atas lidah. Begitu juga jika masih terdapat rasa manis, masam atau seumpamanya di dalam mulut, solat tetap sah selagi tiada apa-apa yang ditelan dengan sengaja.

Namun, jika seseorang sengaja menelan sisa makanan tersebut walaupun dalam kuantiti yang sedikit, maka solatnya dianggap batal.

Dalam penjelasannya, UAI turut menerangkan bahawa seseorang dibenarkan menggerakkan lidah bagi mengeluarkan sisa makanan yang berada di dalam mulut ketika solat.

Ini kerana lidah termasuk dalam kategori anggota yang ringan dan pergerakan tersebut tidak membatalkan solat. Oleh itu, jika terdapat sisa makanan yang mengganggu atau dikhuatiri tertelan, seseorang boleh cuba mengalih atau mengeluarkannya menggunakan lidah tanpa menjejaskan kesahan solat.

Hati-hati jika gerakkan rahang seperti mengunyah

SISA MAKANAN

Walau bagaimanapun, keadaan berbeza jika seseorang menggerakkan rahang atau dagu sehingga menyerupai perbuatan mengunyah.

Menurut UAI, jika pergerakan mengunyah itu dilakukan sebanyak tiga kali berturut-turut tanpa henti, maka solat boleh menjadi batal kerana ia dikira sebagai pergerakan yang banyak.

Syeikh Ibnu Hajar berkata: ( أو فعل ثلاثة أفعال متوالية ) بأن لا يعد عرفا كل منها منقطعا عما قبله ( كثلاث خطوات ) وإن كانت بقدر خطوة مغتفرة أو مضغات ثلاث ( أو حكات ) متوالية

Maksudnya: “(Atau perbuatan tiga kali berturut-turut) yang pada biasanya tidak dilihat sebagai pergerakkan yang berasingan dengan yang sebelumnya (seperti tiga langkah) sekali pun dengan kadar melangkah yang dimaafkan atau mengunyah tiga kali (atau menggaru) berturut-turut.” (Kitab Minhajul Qawwim)

Bagi mengelakkan perkara seperti ini berlaku, umat Islam disarankan membersihkan mulut terlebih dahulu sebelum menunaikan solat, terutama selepas makan.

Selain membantu meningkatkan kekhusyukan, langkah tersebut juga dapat mengelakkan keraguan mengenai hukum sisa makanan ketika sedang beribadah.

Kesimpulannya, sisa makanan yang masih berada di dalam mulut tidak membatalkan solat selagi tidak ditelan. Pergerakan lidah untuk mengeluarkannya juga dibenarkan. Namun, pergerakan rahang yang menyerupai perbuatan mengunyah secara berulang kali perlu dielakkan kerana boleh menjejaskan kesahan solat.

Baca juga: Gelak Mengilai Sampai Satu ‘Office’ Dengar Sebenarnya Boleh Gelapkan Hati, Ini Teguran Ustaz Wadi Annuar

Sumber: Facebook Ustaz Azhar Idrus

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×