Bedah siasat atau post mortem merupakan salah satu prosedur perubatan yang dijalankan bagi mengenal pasti punca kematian, terutamanya dalam kes jenayah atau kematian mengejut seperti dalam kes terbaharu, Zara Qairina.
Walaupun ia penting dari sudut undang-undang dan kesihatan awam, Islam menetapkan adab dan batasan tertentu dalam menguruskan jenazah, termasuk kewajiban menjaga aurat serta maruah si mati. Persoalan sering timbul, apakah hukumnya seorang doktor lelaki melakukan bedah siasat ke atas mayat perempuan?
Baca juga: Hukum Kubur Digali Semula Untuk Bedah Siasat: Perlukah Ulang Mandi, Kafan & Solat Jenazah?
HUKUM DOKTOR LELAKI LIHAT AURAT JENAZAH PEREMPUAN KETIKA BEDAH SIASAT, DIBENARKAN?

Foto: freepik
Dalam Islam, hukum doktor melihat atau memeriksa mayat perempuan untuk tujuan bedah siasat bergantung kepada keperluan dan tujuan. Berikut penjelasan mengikut pandangan fiqh:
1. Asas hukum melihat aurat mayat
Aurat orang mati adalah sama seperti ketika hidup. Lelaki tidak boleh melihat aurat perempuan yang bukan mahram (dan sebaliknya), termasuk selepas meninggal dunia. Namun, darurat atau keperluan mendesak boleh menjadi pengecualian.
“Janganlah kamu menampakkan pahamu, dan janganlah kamu memandang paha orang yang hidup atau yang mati.”- Riwayat Abu Daud & Ibnu Majah.
Sebaiknya diurus oleh petugas jantina yang sama.
2. Kaedah Darurat
Kaedah fiqh:
الضرورات تبيح المحظورات
“Darurat membolehkan perkara yang dilarang.”
Jika bedah siasat diperlukan untuk mencari punca kematian (contohnya kes jenayah, kematian mengejut, atau syarat undang-undang), ia dibenarkan. Tetapi mesti:
- Dilakukan sekadar yang perlu sahaja.
- Menjaga adab terhadap jenazah (tidak membedah atau mendedah lebih daripada perlu).
- Mengutamakan doktor wanita jika ada.
3. Pandangan Ulama & Fatwa
Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia (2006) memutuskan bahawa bedah siasat dibenarkan sekiranya ada keperluan yang sah seperti kes jenayah, tuntutan undang-undang, atau kepentingan kesihatan awam. Dar al-Ifta’ Mesir dan ulama lain juga membenarkan dengan syarat:
- Tidak ada alternatif lain.
- Menjaga kehormatan jenazah.
- Mendahulukan doktor sama jantina jika boleh.
Kesimpulannya, hukum adalah HARAM jika hanya untuk tujuan suka-suka, pembelajaran tanpa izin keluarga, atau tanpa sebab yang sah.
HARUS jika, ada keperluan mendesak (darurat), tiada doktor wanita yang berkelayakan ketika itu, dilakukan dengan penuh hormat dan sekadar yang perlu.
Keutamaan doktor (jika rawatan atau pemeriksaan perlu). Urutan keutamaan:
- Doktor perempuan Muslim pakar.
- Doktor perempuan bukan Muslim pakar.
- Doktor lelaki Muslim pakar.
- Doktor lelaki bukan Muslim pakar.
Syarat lelaki merawat perempuan (atau sebaliknya):
- Tidak bersendirian.
- Menahan pandangan (tidak melihat melebihi keperluan).
- Sentuh hanya di tempat yang berkaitan.
- Utamakan doktor mengikut jantina.
- Larangan menghina atau mencemuh mayat
- Tidak boleh menghina, memaki atau mengaibkan jenazah.

Foto: freepik
“Sebutlah kebaikan orang yang telah mati, dan berhentilah dari menyebut keburukan mereka.”– Riwayat at-Tirmizi.
Baca lagi: Kucing Nama Adam Atau Yusuf, UAI Tegur Trend Pelik Letak Nama Haiwan Macam Manusia
Sumber: Portal Rasmi JAKIM
