Amalan ziarah kubur isteri bukan sekadar tradisi, tetapi menjadi cara paling dekat untuk melepaskan rindu yang tidak pernah padam.
Bagi sesetengah insan, langkah kaki ke tanah perkuburan itu membawa seribu kenangan, tentang cinta, pengorbanan dan kehidupan yang pernah dikongsi bersama. Begitulah juga kisah seorang lelaki ini, yang menjadikan ziarah kubur sebagai rutin penuh makna sejak pemergian isteri tercinta.
Baca juga: Tiada Lagi Ejaan ‘MOHD’ Pada Nama Anak, JPN Tetapkan Perlu Ditulis Secara Penuh
SUAMI SETIA ZIARAH KUBUR ISTERI, SUDAH 780 HARI PEMERGIAN

Bagi Azreein Rumi Aziz, rutin menziarahi pusara arwah isterinya bukan sekadar kebiasaan, tetapi satu bentuk ‘temu janji’ yang sukar ditinggalkan.
Sepanjang 500 hari pertama selepas pemergian Nor Hazamiah, dia tidak pernah culas menjejakkan kaki ke tanah perkuburan. Setiap kali hadir, pasti ada bunga segar dibawa bersama, seolah-olah mahu terus ‘menghidupkan’ kasih yang masih berbaki.
Kini, kekangan kerja membataskan kunjungan itu kepada hujung minggu sahaja, namun ingatan terhadap arwah tidak pernah berkurang walau sedikit.
“Tinggal air mata rindu dan kenangan. Ziarah 15hb Zulkaedah 1447 bersamaan 782 hari pemergian mu. Aku selalu merindui Mu. ALLAH HUMMA SOLLI ALA SAYYIDINA MUHAMMAD,” luahnya di laman Instagram.
Perkenalan mereka yang bermula sejak tahun 1994 menjadi titik awal kepada sebuah perjalanan cinta yang diibaratkan seperti kisah dongeng.
Namun, segalanya berubah sekelip mata apabila pada Ramadan kedua tahun 2024, Nor Hazamiah menghembuskan nafas terakhir selepas 50 hari bertarung dalam keadaan koma. Detik dia rebah dan tidak sedarkan diri dalam pelukan suami menjadi kenangan terakhir yang begitu sukar dilupakan.

Sejak itu, hidup Azreein tidak lagi sama kerana rumah tangga yang dibina selama lebih tiga dekad kini hanya tinggal kenangan. Malah, perubahan paling ketara dapat dilihat pada dirinya apabila berat badan turun mendadak sehingga 25 kilogram, seakan mencerminkan betapa beratnya beban rindu yang ditanggung.
Walaupun sudah 780 hari berlalu sejak pemergian itu, Azreein mengakui belum ada sesiapa yang mampu menggantikan tempat arwah di hatinya.
Apa yang paling dirindui bukan sekadar masakan yang enak, tetapi gelak tawa, gurau senda dan kehadiran seorang wanita yang pernah menjadi pelengkap hidupnya selama ini.
View this post on Instagram
Baca juga: Tempat Makan ‘Viral’ Sekitar Clock Tower & Masjidil Haram, Pilihan Sedap Untuk Jemaah Di Mekah
Sumber: Instagram Azreein
