Euforia Bola 2026
Inspirasi

“Juara Dunia Tapi Tak Lupa Solat”- Sikap Hakim Danish Ramli Buat Ramai Kagum, Wajar Jadi Idola Anak Muda

Hakim Danish Ramli

Nama Hakim Danish Ramli terus menjadi sebutan rakyat Malaysia selepas pelumba muda negara itu mencipta sejarah di pentas Moto3 dunia.

Namun di sebalik kejayaan yang diraih, ramai berpendapat apa yang lebih mengagumkan ialah sikap dan akhlak yang dipamerkannya sepanjang bergelar atlet profesional.

Baca juga: Sering Diejek Ketika Kecil, Kisah Hidup Cristiano Ronaldo Jadi Inspirasi Ramai

HAKIM DANISH RAMLI BUAT RAMAI KAGUM, WAJAR JADI IDOLA ANAK MUDA

Hakim Danish Ramli

Gambar REUTERS: Hakim Danish (tengah) menjuarai perlumbaan di Litar Brno, Republik Czech, hari ini. Pelumba Sepanyol, Brian Uriarte (kiri) menamatkan perlumbaan di tempat kedua dengan ketinggalan 0.466 saat, manakala rakan senegaranya, Marco Quiles melengkapkan podium di kedudukan ketiga.

Baru-baru ini, Hakim Danish mencipta sensasi apabila muncul juara Grand Prix (GP) Republik Czech di Litar Brno dalam saingan Moto3.

Kemenangan bersejarah itu menyaksikan Jalur Gemilang kembali berkibar megah di pentas perlumbaan dunia hasil usaha anak muda Malaysia yang sedang meningkat naik dalam arena permotoran antarabangsa.

Lebih manis, kejayaan di Czech hadir hanya beberapa minggu selepas beliau meraih podium pertama kariernya dalam saingan Moto3 di GP Itali di Litar Mugello pada Mei lalu.

Dua pencapaian besar dalam tempoh singkat itu jelas membuktikan perkembangan luar biasa pelumba kelahiran Terengganu tersebut.

Di sebalik kejayaan di litar, satu perkara yang turut mencuri perhatian ramai ialah sikap Hakim Danish terhadap agama.

Menerusi satu hantaran di Facebook, Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menyifatkan pelumba muda itu sebagai contoh terbaik buat generasi muda kerana tidak pernah mengetepikan tanggungjawab sebagai seorang Muslim walaupun sedang menikmati kejayaan besar.

“Sesuai menjadi idola anak muda. Walau bergelar Juara Dunia perlumbaan Moto3 Grand Prix (GP) Republik Czech, namun tanggungjawab kepada Allah tidak pernah dikesampingkan,” tulis beliau.

Perkongsian tersebut dibuat bersama gambar yang menunjukkan Hakim Danish sedang menunaikan solat ketika berada di luar negara bagi menyertai perlumbaan.

Detik di podium yang buat ramai hormat

Hakim Danish Ramli

Gambar tangkap layar: Krew pengurus Hakim Danish, Jordi Gatell, dilihat pantas bertindak menyembunyikan botol champagne sebaik sahaja menyedari situasi di podium.

Satu lagi perkara yang menjadi perhatian ialah tindakan Hakim Danish selepas kemenangan di GP Republik Czech.

Menurut laporan media, beliau dilihat meninggalkan podium selepas sesi rasmi penyampaian hadiah dan lagu Negaraku selesai. Tindakan tersebut dikaitkan dengan sambutan podium perlumbaan Eropah yang lazimnya melibatkan minuman beralkohol.

Perkara itu turut mengundang pujian ramai yang melihatnya sebagai usaha mengekalkan prinsip serta pegangan agama walaupun berada di pentas antarabangsa.

Dalam masa sama, pengurus pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSi, Jordi Gatell turut menerima pujian netizen kerana menghormati sensitiviti agama pelumba negara itu sepanjang sambutan kemenangan berlangsung.

Baca juga: Anak Malaysia Dipilih Berucap Wakili Graduan Di Amerika Syarikat, Ucapan Buat Ibu Bapa Ini Buat Ramai Sebak

Pernah tular ajar rakan baca doa sebelum makan

Sebenarnya, ini bukan kali pertama sikap Hakim Danish meraih perhatian warga maya.

Tahun lalu, tular satu video yang memaparkan beliau mengajar beberapa rakan dalam arena sukan permotoran membaca Bismillah dan doa sebelum makan sebagai tanda kesyukuran terhadap rezeki yang dikurniakan Allah SWT.

Video yang dikongsikan semula oleh TikTok Zayan itu menerima pelbagai reaksi positif daripada warga maya.

Ramai memuji keberaniannya berkongsi amalan Islam kepada rakan-rakan antarabangsa dalam suasana santai dan penuh hormat.

Masya-Allah! Usaha dakwah daripada pelumba muda negara, Hakim Danish yang mengajar kepada rakan sukan permotoran tentang pentingnya doa sebagai seorang Muslim. Alhamdulillah,” tulis TikTok Zayan.

@zayan.my MasyaAllah! Usaha dakwah daripada pelumba muda negara, Hakim Danish yang mengajar kepada rakan sukan permotoran tentang pentingnya doa sebagai seorang Muslim 🤲🏻 Alhamdulillah! Video memaparkan dia sedang mengajar baca doa sebelum makan dan Bismillah sebagai tanda kesyukuran atas rezeki. Sumber: TT mmmgarage #ZAYANShare ♬ original sound – ZAYAN

Bukan sekadar menang, malah cipta sejarah buat Malaysia

Hakim Danish

Gambar REUTERS: Perlumbaan Moto3 di Litar Brno, Republik Czech.

Dalam dunia sukan moden, kejayaan sering diukur melalui trofi dan kemenangan. Namun kisah Hakim Danish menunjukkan bahawa nilai seorang atlet juga terletak pada akhlak, disiplin dan prinsip yang dipegangnya.

Apa yang lebih membanggakan, kemenangan Hakim Danish di GP Czech bukan sekadar menambah koleksi kejayaan peribadi, malah menamatkan penantian panjang Malaysia untuk melihat wakil negara muncul juara dalam saingan Moto3.

Kejayaan di Litar Brno itu mengakhiri kemarau kemenangan Malaysia selama sedekad sejak kali terakhir dicapai oleh Khairul Idham Pawi pada GP Jerman di Litar Sachsenring pada musim 2016.

Untuk rekod, Khairul Idham pernah mencipta sejarah apabila menjuarai GP Argentina dan GP Jerman dalam kelas Moto3 pada tahun tersebut, sebelum Hakim Danish muncul sebagai pelumba Malaysia seterusnya yang berjaya berdiri di puncak podium dunia.

Dengan pencapaian luar biasa di litar, sikap merendah diri, kecintaan kepada agama serta akhlak yang dipamerkan sepanjang kariernya, tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa Hakim Danish Ramli kini bukan sekadar bintang sukan permotoran negara.

Malah, figura yang wajar dijadikan inspirasi kepada generasi muda Malaysia.

Sumber: Facebook Dr Asyraf Wajdi Dusuki / Harian Metro (1) (2) (3)

FT Image: Dr Asyraf Wajdi Dusuki / Reuters

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×