Seorang guru dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun oleh Mahkamah Sesyen di Seremban, pada Isnin selepas didapati bersalah melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang pelajar perempuan berusia 13 tahun di surau sebuah sekolah menengah di Senawang pada 2022.
Tertuduh, Farid Azhar Nawi, 47, turut dikenakan hukuman tambahan dua tahun penjara serta dua sebatan yang diperintah berjalan serentak dari tarikh sabitan.
GURU SENTUH PINGGANG PELAJAR PEREMPUAN

Gambar Ahmad Hasbi (NSTP): Farid Azhar (bersongkok) ketika hadir di Mahkamah Sesyen di Seremban, semalam.
Mahkamah juga mengarahkan beliau menjalani kaunseling ketika menjalani hukuman serta berada di bawah pengawasan polis selama setahun selepas tamat hukuman penjara.
Hakim Datin Surita Budin membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap tertuduh.
Menurut pertuduhan, tertuduh melakukan amang seksual fizikal dengan menyentuh pinggang mangsa bagi maksud seksual ketika mangsa berada di surau sekolah kira-kira jam 5.30 petang, 4 Ogos 2022. Ketika kejadian, tertuduh mempunyai hubungan amanah sebagai seorang guru.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16(c) akta sama, yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan sebatan.
Dalam alasan penghakimannya, Surita berkata mahkamah meneliti keterangan saksi, fakta kes dan hujahan kedua-dua pihak sebelum membuat keputusan, selain menekankan bahawa kes amang seksual membabitkan kanak-kanak tidak boleh diberi sebarang toleransi.
Beliau berkata tertuduh sebagai guru sepatutnya melindungi pelajar, namun mengambil kesempatan terhadap mangsa sehingga mencemarkan nama baik guru agama dan imej sekolah.
“Tertuduh sepatutnya melindungi serta memberi tunjuk ajar baik kepada murid, dan bukannya mengambil kesempatan ke atas mangsa yang baru berusia 13 tahun ketika kejadian,” katanya.
Baca juga: 3 Individu Panjat Papan Tanda Jalan Ikut Trend “Maui Wowie”, DBKU Bakal Ambil Tindakan Lapor Polis!
Sumber: Berita Harian
FT Image: Sinar Harian / Nor Shafawati Yup (Kosmo!)
