Terengganu sememangnya terkenal sebagai destinasi pelancongan utama di Pantai Timur dan tidak sah kalau datang ke negeri ini kalau tidak melawat seni bina ikonik seperti Masjid Kristal.
Namun, di sebalik popularitinya, baru-baru ini tular satu perkongsian yang menyentuh hati ramai mengenai keadaan semasa Masjid Kristal yang dilihat kurang mendapat penjagaan.
Baca juga: Elak Salah Faham Di Kaunter, Ini Cara ‘Scan’ Barangan SARA Guna Aplikasi MyKasih…Tak Semua Boleh Ya!
TULAR KEADAAN MASJID KRISTAL TIDAK DIJAGA DENGAN ELOK & KOTOR, NETIZEN LUAH RASA TERKILAN

Seorang pengguna Threads, @zaihafiq_zaidi, berkongsi beberapa gambar pada 17 September keadaan Masjid Kristal, ikon kebanggaan Terengganu. Apa yang mengejutkan, masjid yang suatu ketika dahulu gah dan menjadi kebanggaan umat Islam itu kini kelihatan kotor serta tidak terurus.
Antara yang paling mencuri perhatian ialah kolam di sekeliling masjid yang dipenuhi lumut dan sampah sarap, menjadikan airnya kelihatan keruh serta berkeladak.
Bukan itu sahaja, keadaan laluan pejalan kaki yang diperbuat daripada kayu juga sangat membimbangkan. Beberapa bahagian dilihat patah, berlubang dan pecah sehingga berisiko membahayakan pengunjung.
Kerja Pembersihan & Pembaikan Sedang Dijalankan

Perkongsian tersebut nyata mencetuskan rasa kecewa netizen yang bimbang imej masjid sebagai simbol Islam tercalar di mata pelancong.
“Sedih tengok keadaan ni. Malu bila pelancong luar datang, masjid melambangkan Islam, tapi kawasan sekeliling nampak kotor dan terbiar,” tulis pengguna berkenaan di kapsyen.
Bagaimanapun, perkembangan terbaharu pada 18 September memaklumkan bahawa pihak berkuasa sudah mula melaksanakan kerja-kerja pembersihan dan pembaikan secara berperingkat. Difahamkan, beberapa kerja utama telah dimulakan dan akan diteruskan mengikut fasa yang ditetapkan.
Pihak Taman Tamadun Islam juga berjanji untuk berkongsi maklumat terkini dari semasa ke semasa, termasuk punca kerosakan serta langkah penambahbaikan yang sedang dijalankan.
*Semoga usaha pemulihan ini dapat mengembalikan semula keindahan masjid ikonik tersebut agar terus menjadi kebanggaan negara.

Foto terbaharu sudah dicuci.
Baca juga: 10 Pilihan Terbaik Hotel Mesra Kanak-Kanak Di Malaysia Tahun 2025, ‘Confirm’ Tak Nak Balik!
Sumber: TeganuKita, Threads
