Gelombang flotilla kembali menjadi simbol solidariti global terhadap Gaza apabila tiga misi kemanusiaan besar ini dilancarkan sepanjang tahun 2025. Walaupun berbeza pendekatan dan organisasi penganjur, setiap gelombang flotilla berkongsi matlamat sama iaitu ingin memecahkan pengepungan terhadap Gaza yang telah menjerut kehidupan rakyat Palestin selama bertahun-tahun.
Mungkin ada yang masih keliru tentang perbezaan antara setiap gelombang dan bilakah ketiga-tiga misi ini dilaksanakan. Jom, baca penerangan di bawah.
Baca juga: Tular Pikap Berpelekat Bahasa Isra*l “Malaysia Rumah Kami”, Dikenal Pasti Sebagai Warga Tempatan!
FAKTA 3 GLOMBANG FLOTILLA KE GAZA SEPANJANG TAHUN 2025
Gelombang Pertama: Freedom Flotilla Coalition (FFC)
Gelombang pertama pada Mei tahun ini diketuai oleh Freedom Flotilla Coalition (FFC) yang sudah lama sinonim dengan usaha mencabar sekatan maritim Israel sejak tahun 2010 lagi.
FFC melancarkan misi mereka dari pelabuhan Barcelona. Di mana, kapal-kapal kecil mereka membawa aktivis, wartawan dan doktor antarabangsa berlayar ke Gaza.
Matlamat utama mereka ialah “break the silence“, membangkitkan semula perhatian dunia terhadap kezaliman Israel serta membuktikan solidariti rakyat pelbagai bangsa terhadap Palestin.
Gelombang Kedua: Global Sumud Flotilla (GSF)

Gambar Utusan.
Tidak lama kemudian, 31 Ogos baru ini, Global Sumud Flotilla (GSF) pula berlayar membawa misi lebih besar. Nama “Sumud” yang bermaksud keteguhan menggambarkan semangat rakyat Palestin untuk terus bertahan.
GSF merupakan gabungan beberapa blok flotila termasuk Freedom Flotilla Coalition, Maghreb Sumud Flotilla dan Sumud Nusantara yang membawa figura-figura dikenali dunia dan di negara masing-masing seperti aktivis, pempengaruh dan selebriti. Di mana, seramai 23 delegasi Malaysia menyertai misi ini.
Berlepas dari Barcelona dan Tunisia, misi ini melibatkan 44 buah kapal membawa bekalan perubatan serta aktivis antarabangsa. Walaupun berdepan serangan dron dan sabotaj Israel, mereka tetap meneruskan pelayaran demi kemanusiaan.
Gelombang Ketiga: FFC & Thousand Madleens to Gaza (TMTG)

Gambar freedomflotilla
Menjelang Oktober 2025, misi diteruskan dengan gelombang ketiga hasil kerjasama antara FFC dan Thousand Madleens to Gaza (TMTG) yang membawa figura-figura berwibawa dalam hal ehwal akademik, perubatan dan kemanusiaan.
Selain itu, misi ini bukan sahaja membawa bantuan fizikal, tetapi juga fokus kepada dokumentasi pelanggaran hak asasi manusia. Kapal Conscience membawa 8 delegasi Malaysia, manakala seorang lagi berada di atas Kapal Umm Said (Maiden).
Menurut laporan Bernama, 10 kapal berlepas dari Itali dan Porto Otranto pada 27 September dengan semangat tinggi, meskipun kini kesemua delegasi sudah ditahan di penjara Ketziot, Israel.
Secara keseluruhan, tiga gelombang flotilla ini menjadi bukti keberanian masyarakat dunia yang tidak pernah jemu memperjuangkan hak rakyat Gaza. Setiap kapal yang berlayar membawa mesej yang sama iaitu kemanusiaan tidak boleh disekat oleh sempadan atau kekejaman.
Baca juga: 7 Kisah Hukuman Zaman Dahulu Yang Kejam, Pelik & Menggerunkan Hingga Tak Masuk Dek Akal!
Sumber: Lobak Merah
FT Image: Bruna Casas/Reuters

