Fenomena El-Nino dijangka kembali melanda negara dengan intensiti yang lebih kuat, sekali gus berpotensi menyebabkan suhu meningkat ke tahap luar biasa panas.
Perkembangan ini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pakar iklim kerana kesannya bukan sahaja dirasai dari segi suhu, malah boleh membawa kepada kemarau, kebakaran hutan dan jerebu.
MALAYSIA BAKAL DILANDA EL-NINO TERPANAS DALAM SEJARAH

Gambar Aizuddin Saad: Pelancong asing menggunakan payung bagi melindungi diri dari cuaca panas terik susulan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran cuaca panas tahap dua (gelombang habab) dari suhu maksimum harian 37 hingga 40 darjah celcius ketika tinjauan di Jalan Ampang, Kuala Lumpur.
Menurut Pakar Klimatologi dan Perubahan Iklim, Prof Emeritus Dr Fredolin Tangang, peningkatan suhu global sejak beberapa tahun kebelakangan ini menunjukkan trend yang semakin membimbangkan.
Malah, tahun-tahun kebelakangan ini turut direkodkan sebagai antara tempoh paling panas dalam sejarah dunia.
Suhu boleh meningkat sehingga 40 darjah celsius
Ramai mungkin tertanya-tanya sejauh mana kesan fenomena ini terhadap kehidupan harian. Secara ringkasnya, El-Nino merujuk kepada keadaan pemanasan alam sekitar yang ekstrem apabila suhu permukaan laut meningkat melebihi paras normal.
Dalam situasi tertentu, suhu persekitaran boleh:
- Melebihi 37 darjah Celsius
- Meningkat sehingga 40 darjah Celsius
- Menyebabkan cuaca menjadi lebih kering
- Mengurangkan kelembapan udara
Felo Akademi Sains Malaysia itu menjelaskan bahawa fenomena ini bukan sekadar ramalan biasa, sebaliknya sesuatu yang perlu diberi perhatian serius.
“Mengikut ramalan semasa, kebarangkalian El-Nino berlaku pada musim barat daya ini melebihi 70 peratus dan boleh meningkat sehingga 80 hingga 90 peratus menjelang penghujung tahun,” jelasnya kepada Harian Metro.
Tambah beliau lagi, fenomena tersebut dijangka mula berlaku sekitar pertengahan tahun sebelum berterusan sehingga awal tahun hadapan.
“Pengalaman saya sebagai penyelidik selama lebih tiga dekad menunjukkan kita berkemungkinan berdepan El-Nino yang berintensiti kuat tahun ini,” katanya.

Gambar hiasan: Wirestock
Kesan el-nino bukan sekadar panas, tetapi risiko bencana alam
Walaupun ramai hanya mengaitkan El-Nino dengan cuaca panas, hakikatnya kesannya jauh lebih luas dan boleh memberi impak besar kepada alam sekitar serta kesihatan manusia.
Antara kesan yang sering berlaku ketika fenomena ini melanda termasuk:
- Kemarau berpanjangan
- Kebakaran hutan dan tanah gambut
- Jerebu yang menjejaskan kualiti udara
- Risiko strok haba meningkat
- Gangguan bekalan air di sesetengah kawasan
Situasi ini juga boleh memberi kesan kepada aktiviti harian masyarakat, terutama golongan yang bekerja di luar seperti petani, pekerja pembinaan dan pelajar yang menjalani aktiviti luar sekolah.
Oleh itu, orang ramai disarankan untuk mengambil langkah berjaga-jaga lebih awal, termasuk memastikan pengambilan air mencukupi dan mengurangkan aktiviti luar ketika cuaca terlalu panas.
Fenomena cuaca ekstrem ini mungkin tidak dapat dielakkan, namun kesedaran dan persediaan awal mampu membantu mengurangkan risiko serta melindungi kesihatan diri dan keluarga.
Sumber: Harian Metro
FT Image: Aizuddin Saad / Wirestock
