Suasana pilu menyelubungi warga sebuah sekolah rendah apabila seorang murid Tahun Empat dilaporkan meninggal dunia selepas mengalami demam panas yang dipercayai berkaitan dengan strok haba.
Berita sedih itu dimaklumkan sendiri oleh pihak sekolah menerusi satu hantaran di media sosial yang mengundang rasa simpati ramai.
MURID TAHUN EMPAT MENINGGAL DUNIA DIPERCAYAI BERKAITAN STROK HABA

Mangsa dikenali sebagai Muhammad Danish Farish bin Dahlan, murid dari kelas 4 Sukma di Sekolah Kebangsaan Telok Panglima Garang. Difahamkan, kanak-kanak berusia 10 tahun itu meninggal dunia di Kedah dan akan dikebumikan di sana.
Pemergian murid undang simpati warga sekolah dan orang ramai
Menerusi kenyataan ringkas yang dikongsikan, pihak sekolah memaklumkan bahawa arwah dipercayai mengalami demam panas sebelum disahkan meninggal dunia.
Perkongsian tersebut pantas menerima pelbagai reaksi dan ucapan takziah daripada warga maya yang turut bersedih dengan pemergian kanak-kanak itu.
Di ruangan komen, individu dipercayai bapa arwah turut menitipkan kata-kata yang menyentuh hati ramai.
“Al-Fatihah buat anak abah… semoga anak abah tenang di alam sana. Terima kasih kepada yang mendoakan anak saya,” tulisnya.
Rata-rata orang ramai turut meninggalkan mesej sokongan dan doa buat keluarga arwah, selain berkongsi kenangan tentang sifat periang dan baik hati si kecil tersebut.
Rata-rata orang ramai turut meninggalkan mesej sokongan dan doa buat keluarga arwah, selain berkongsi kenangan tentang sifat periang dan baik hati si kecil tersebut.

Gambar hiasan: Freepik
Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mendedahkan 15 kes berkaitan cuaca panas dilaporkan setakat ini bagi 2026, termasuk tiga kes strok haba dan satu kes kematian melibatkan seorang kanak-kanak yang tertinggal dalam kenderaan.
Beliau menasihatkan orang ramai agar sentiasa memantau keadaan anak-anak terutama ketika cuaca panas melampau, selain memastikan mereka minum air secukupnya dan berehat di tempat teduh.
Selain itu, peka terhadap situasi yang boleh mencetuskan strok haba termasuk:
- Terdedah kepada cuaca panas dalam tempoh lama
- Kurang minum air atau dehidrasi
- Aktiviti fizikal berat di bawah terik matahari
- Berada dalam ruang tertutup yang panas seperti kenderaan
Pemergian kanak-kanak ini menjadi peringatan kepada semua pihak tentang kepentingan menjaga keselamatan dan kesihatan anak-anak, terutama ketika suhu persekitaran meningkat.
Baca juga: Ini 5 Tanda Anda Melahirkan Anak Genius, Rupanya Perangai ‘Pelik’ Itu Petanda Bijak Macam Pendeta!
Sumber: Facebook SK Telok Panglima Garang / BERNAMA
FT Image: Facebook SK Telok Panglima Garang
