Euforia Bola 2026
Sihat

Cuaca Terik Melampau! Kucing & Anjing Pun Berisiko Strok Haba, Ini Cara Selamatkan Si Bulus Kesayangan

strok haba

Cuaca panas yang semakin melampau sejak kebelakangan ini bukan sahaja memberi kesan kepada manusia, malah turut membahayakan haiwan peliharaan seperti kucing dan anjing. Strok haba bukan sahaja menyerang manusia, tetapi haiwan peliharan juga.

Ramai pemilik masih memandang ringan isu ini, sedangkan strok haba boleh berlaku dengan cepat dan membawa maut jika tidak ditangani segera.

Baca juga: Bersedia Hadapi Cuaca Panas Melampau, Malaysia Bakal Dilanda El-Nino Terpanas Dalam Sejarah!

CUACA PANAS UNDANG STROK HABA PADA SI BULUS

strok haba

Foto: Facebook Bernama

Secara normal, suhu badan anjing dan kucing berada dalam lingkungan 38°C hingga 39.2°C. Namun, apabila suhu badan meningkat sehingga sekitar 41°C hingga 42°C, keadaan boleh menjadi kritikal.

Pada tahap ini, organ dalaman berisiko mengalami kerosakan serius dan boleh membawa kepada kematian sekiranya tidak diberikan rawatan segera.

Kenali Tanda-Tanda Strok Haba

Pemilik perlu peka terhadap simptom awal, antaranya:

  • Stres atau gelisah
  • Lemah dan tidak aktif
  • Tercungap-cungap berlebihan
  • Bernafas dengan cepat dan berat
  • Lidah bertukar merah gelap hingga keunguan
  • Muntah

Langkah Pencegahan Ketika Cuaca Panas

strok haba

Foto: Freepik

Dalam keadaan cuaca panas, beberapa langkah pencegahan boleh diambil bagi melindungi haiwan peliharaan.

  1. Letakkan haiwan di tempat teduh
    Elakkan biarkan mereka terdedah kepada panas terik, terutama waktu tengah hari.
  2. Sediakan air secukupnya
    Tukar air minuman dengan kerap dan pastikan sentiasa sejuk.
  3. Sediakan kawasan berbumbung jika di luar rumah
    Pastikan ada tempat berteduh dan pengudaraan baik.
  4. Elakkan permukaan panas
    Jalan tar atau pasir panas boleh melecurkan tapak kaki haiwan.
  5. Jangan tinggalkan dalam kereta
    Walaupun tingkap dibuka sedikit, suhu dalam kereta boleh meningkat dengan cepat.
  6. Rujuk doktor haiwan jika perlu
    Terutama jika haiwan menunjukkan tanda tidak selesa atau sensitif terhadap panas.

Tindakan Kecemasan Jika Berlaku Strok Haba

Sekiranya haiwan menunjukkan tanda-tanda strok haba, tindakan kecemasan perlu dilakukan segera.

  • Alihkan haiwan ke kawasan lebih sejuk
  • Sejukkan badan (telinga, perut, tapak kaki) menggunakan air biasa
  • Elakkan guna air ais kerana boleh mengejutkan sistem badan
  • Bawa ke klinik haiwan secepat mungkin selepas keadaan stabil

Perkara Yang Perlu Dielakkan

Dalam masa yang sama, terdapat beberapa perkara yang perlu dielakkan seperti:

  • Jangan rendam haiwan dalam air terlalu sejuk
  • Jangan balut dengan tuala basah tebal (boleh memerangkap haba)

Kesimpulannya, strok haba dalam kalangan haiwan peliharaan bukanlah isu kecil. Dalam keadaan cuaca panas yang tidak menentu, keprihatinan dan tindakan awal pemilik sangat penting untuk memastikan keselamatan si bulus.

Dengan langkah pencegahan yang betul, risiko ini dapat dikurangkan dan haiwan kesayangan dapat terus hidup sihat dan selesa.

Baca juga: Sekolah Perlu Tangguh Aktiviti Luar Jika Suhu Melebihi 35°C, KPM Ambil Langkah Awal Hadapi Cuaca Panas

Sumber: Facebook Bernama

FT Images: Freepik 

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×