Siapa sangka, seorang pembantu setiausaha pejabat mampu menjejakkan kaki ke menara gading tertinggi hingga bergelar Doktor Falsafah (PhD)?
Itulah kisah luar biasa Dr. Norliyana Zakaria, salah seorang staf di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), yang kini menjadi inspirasi kepada ramai rakyat Malaysia!
BUKAN KALENG-KALENG, PEMBANTU SETIAUSAHA PEJABAT GRADUAN PHD…ADA GELARAN DR!

Perjalanan luar biasa Dr. Norliyana tular selepas dikongsi oleh pengguna media sosial di laman Threads, @Amirruddin Ahmad Tajuddin, yang kagum dengan semangat juang wanita tersebut.
“Bayangkan, seorang pembantu setiausaha pejabat Gred N1 mampu menamatkan pengajian hingga ke peringkat PhD. Beliau keluar daripada zon selesa dan membuktikan bahawa tiada siapa terikat dengan takdir asal,” tulisnya.
Kisah itu nyata menyentuh hati ramai. Di ruang komen dibanjiri dengan ucapan tahniah dan rasa kagum atas kegigihan Dr. Norliyana menempuh laluan yang bukan mudah. Namun, segelintir juga tertanya-tanya mengapa beliau masih menyandang jawatan yang sama walaupun sudah bergelar ‘Dr.’?
Menjawab persoalan itu, seorang individu bernama @Nik_zulrynna tampil memberi pencerahan. Menurutnya, dalam perkhidmatan awam, tiada pelantikan automatik berdasarkan kelulusan baharu.
“Pegawai perlu membuat permohonan baharu bagi jawatan lain yang sesuai dengan kelayakan akademik terkini. Saya dulu pun pembantu tadbir gred N19 selama 16 tahun, sambil menyambung pengajian hingga ke peringkat PhD. Kini saya sudah lima tahun berkhidmat sebagai pensyarah di IPTA,” jelasnya.
Tambahnya lagi, perjalanan seperti yang dilalui Dr. Norliyana bukan sesuatu yang mudah, tetapi bukti nyata bahawa ilmu dan usaha tidak mengenal batas pangkat atau kedudukan.
BERKHIDMAT SAMBIL BELAJAR, SEDANG MOHON JAWATAN SELARAS

Dalam satu kenyataan rasmi, Fakulti Alam Bina dan Ukur (Faculty of Built Environment & Surveying) UTM Johor Bahru menjelaskan bahawa Dr. Norliyana telah berkhidmat selama 13 tahun di universiti tersebut dan baru sahaja menamatkan pengajian PhD pada Februari 2025. Kini, beliau sedang memohon jawatan baharu yang lebih selaras dengan kelayakan akademiknya.
Kisah Dr. Norliyana menjadi bukti nyata bahawa kejayaan bukan milik mereka yang berkuasa, tetapi milik mereka yang berusaha.
Daripada pembantu setiausaha ke pemegang PhD membuktikan bahawa perjalanan beliau bukan sekadar kejayaan peribadi, tetapi satu inspirasi untuk semua yang berani bermimpi besar walaupun bermula dari bawah. Tahniah!
Sumber: Threads, Faculty of Built Environment & Surveying, UTM Johor Bahru
