Agensi Jabatan Pendaftaran Negara kini tampil membantu mereka yang terkesan musibah banjir dengan menyediakan penggantian dokumen penting secara percuma. Dalam situasi bencana seperti ini, kehilangan dokumen pengenalan diri menjadi antara cabaran besar, khususnya apabila melibatkan urusan rasmi di kemudian hari.
Menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, inisiatif ini disediakan untuk meringankan beban mangsa banjir yang kehilangan atau mengalami kerosakan pada dokumen pengenalan diri.
Baca juga: Berita Baik Untuk Mama! ‘Standby’ Tahun 2026 Ada Banyak Bantuan Untuk Anak Bawah 6 Tahun!
PENGGANTIAN DOKUMEN PENGENALAN DIRI SECARA PERCUMA

Gambar oleh Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail
Ini turut merangkumi beberapa dokumen pengenalan diri utama seperti:
- MyKad
- Sijil Kelahiran
- Sijil Kematian
- Sijil Perkahwinan (Sivil)
- Sijil Kewarganegaraan
- Dan lain-lain dokumen rasmi yang dikeluarkan JPN
Dalam hantaran rasmi di Facebook, Menteri turut menitipkan pesanan berjiwa keprihatinan kepada semua rakyat Malaysia yang sedang diuji.
“Dalam apa jua musibah yang menimpa, saya ingin mengingatkan semua yang terkesan agar sentiasa mengutamakan keselamatan diri dan keluarga.”
Beliau menambah lagi keyakinan bahawa kerajaan akan sentiasa mempermudah urusan rakyat, terutama dalam hal berkaitan dokumen pengenalan diri.
“Insya-Allah Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan agensi-agensi terkait akan membantu mempermudah urusan dokumen diri rakyat Malaysia yang terkesan dengan cabaran, seperti musibah banjir yang besar sekarang ini.”
Selain itu, beliau turut menggariskan komitmen kerajaan dalam memastikan bantuan sampai tepat pada waktunya.
“Insya-Allah Kerajaan MADANI sentiasa prihatin membantu rakyat, khususnya ketika berdepan ujian dan kesulitan, memastikan segala bentuk bantuan disampaikan dengan cepat, cekap dan berfokus kepada kesejahteraan rakyat.”
Baca juga: [TERKINI] JAKIM Tegaskan ‘Muslim Choice’ Tak Diiktiraf Sebagai Penanda Halal!

Gambar Jabatan Pendaftaran Negara.
Perkhidmatan mudah alih ke kawasan banjir
Apa yang menarik tentang inisiatif ini adalah, KDN turut menggerakkan perkhidmatan penggantian dokumen secara mobile atau mudah alih ke kawasan terjejas seperti perkhidmatan bas, van dan kenderaan pacuan 4 roda MEKAR.
Langkah ini hanya akan dilaksanakan sebaik sahaja laluan yang selamat dapat diakses, bagi memastikan keselamatan semua pihak terjamin terlebih dahulu.
Inisiatif perkhidmatan bergerak ini diwujudkan khusus untuk menyampaikan bantuan terus kepada mereka yang memerlukan, tanpa menambah beban kepada mangsa yang sudah cukup terbeban akibat bencana yang melanda.
Langkah ini juga merupakan sebahagian usaha JPN untuk membantu rakyat memulihkan urusan dokumen pengenalan diri dengan cara yang lebih mudah, mesra dan menyeluruh.
Nota penulis:
Jika anda atau keluarga terdekat adalah mangsa banjir yang kehilangan dokumen pengenalan diri, jangan risau kerana pihak JPN sudah membuka jalan untuk mempermudah urusan anda. Keutamaan sekarang adalah selamatkan diri, keluarga dan harta yang mampu diselamatkan dahulu.
Hal dokumen pengenalan diri? Insha Allah, ada yang bantu uruskan. Semoga kita semua terus kuat berdepan ujian ini dan dipermudahkan segala urusan.
Baca juga: Ini 14 Kawasan ‘Hotspot’ Gempa Bumi Di Malaysia Yang Dikenal Pasti, Pemaju Perlu Beri Perhatian!
Sumber: Jabatan Pendaftaran Negara / Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail
FT Image: Arkib NSTP / BERNAMA
