Pemilik IC lama di Malaysia kini perlu mengambil perhatian selepas Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengumumkan pelaksanaan MyKad generasi baharu yang hadir dengan teknologi keselamatan lebih canggih dan moden.
Baca juga: Mana Anjing K9? Netizen Persoal Operasi SAR Gunung Batu Putih, Ini Penjelasan Pasukan Penyelamat
PEMILIK 3 JENIS IC LAMA PERLU TUKAR MYKAD DALAM TEMPOH 3 TAHUN

Foto: Jabatan Pendaftaran Negara
Bagaimanapun, orang ramai diminta supaya tidak tergesa-gesa hadir ke pejabat JPN untuk membuat penukaran kad pengenalan kerana MyKad sedia ada masih sah digunakan untuk semua urusan rasmi termasuk tuntutan subsidi dan penerimaan bantuan kerajaan.
Menurut JPN, pelaksanaan MyKad baharu akan dilakukan secara berperingkat bermula di ibu pejabat JPN di Putrajaya serta 18 pejabat JPN terpilih menerusi sistem janji temu sebelum diperluaskan ke seluruh negara.
Langkah ini diambil bagi memastikan proses berjalan lancar serta mengelakkan kesesakan di kaunter JPN.
Pemilik 3 Jenis IC Lama Akan Diberi Keutamaan

Foto: EricGoesTo
Dalam pelaksanaan fasa awal ini, pemegang tiga jenis kad pengenalan lama akan diberi keutamaan untuk membuat penukaran dan perlu melengkapkan proses tersebut dalam tempoh tiga tahun akan datang.
Antara kad pengenalan yang terlibat ialah:
- Kad Pengenalan Plastik (KPP)
- Kad Pengenalan Bermutu Tinggi (KPT)
- MyKad Versi 1
Sekiranya anda masih menggunakan salah satu daripada kad pengenalan ini, disarankan untuk mengikuti pengumuman rasmi JPN mengenai proses penukaran yang akan datang.
MyKad Baharu Tampil Dengan Ciri Keselamatan Lebih Tinggi
Ketua Pengarah JPN, Datuk Badrul Hisham Alias berkata, MyKad generasi baharu akan dilengkapi sebanyak 53 elemen keselamatan berbanding hanya 23 elemen pada versi semasa.
Antara ciri keselamatan yang ditambah termasuk:
- Kod QR untuk tujuan pengesahan dan penguatkuasaan
- Hologram keselamatan
- Teks mikro (microtext)
- Ciri keselamatan ultraviolet (UV)
- Ukiran laser
- Cip dengan tahap penyulitan (enkripsi) yang lebih tinggi
Penambahbaikan ini dijangka dapat meningkatkan proses pengesahan identiti selain mengurangkan risiko pemalsuan dan penyalahgunaan dokumen pengenalan diri.
Tarikh Pelancaran Akan Diumumkan Kemudian
Buat masa ini, tarikh rasmi pelancaran MyKad baharu masih belum diumumkan. Menurut JPN, pengumuman berkenaan akan dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.
JPN turut memaklumkan bahawa soalan lazim (FAQ) berkaitan pelaksanaan MyKad baharu akan diterbitkan menerusi portal rasmi dan platform media sosial rasmi jabatan itu dalam masa terdekat.
Jadi, jika anda atau ahli keluarga masih menggunakan kad pengenalan lama, pastikan sentiasa mengikuti perkembangan terkini daripada JPN bagi memudahkan proses penukaran nanti.
Sumber: Jabatan Pendaftaran Negara
FT Images: EricGoesTo
