Demam Influenza A merupakan salah satu jangkitan virus pernafasan yang boleh memberi kesan serius, terutamanya kepada kanak-kanak, warga emas dan individu berisiko tinggi.
Menerusi perkongsian seorang ibu di laman Facebook, demam Influenza A ini dikatakan sebagai demam ‘mahal’ kerana kos rawatannya yang jauh lebih tinggi berbanding demam biasa.
Baca juga: Petua ‘Bersihkan’ Paru-Paru Bila Terkena Jangkitan, Nafas Lega & Buang Kahak Cara Semula Jadi
DEMAM INFLUENZA A ‘MAHAL’, JAGA KESIHATAN SEBELUM MENYESAL

Ubat utama bagi merawat Influenza A, iaitu Oseltamivir 75mg, boleh mencecah harga antara RM115 hingga RM150 untuk satu kursus rawatan selama lima hari.
Itu belum termasuk ubat-ubat sampingan lain seperti paracetamol, ubat batuk, selesema, muntah, cirit-birit dan gastrik, yang secara keseluruhan boleh meningkatkan jumlah perbelanjaan kepada RM200 hingga RM300.
“Pernah dengar orang sebut “demam mahal”? Ya, itulah gelaran yang diberikan kepada Influenza A, bukan sahaja kerana tahap jangkitan yang lebih serius, tetapi juga disebabkan kos rawatannya yang agak tinggi berbanding demam biasa.
“Salah satu ubat utama untuk rawatan Influenza A adalah Oseltamivir 75mg, yang lebih dikenali sebagai ubat influenza. Harganya tidak murah, sekitar RM115 hingga RM150 untuk satu dos rawatan lengkap selama 5 hari.
“Bandingkan dengan ubat demam biasa seperti Avadol yang hanya sekitar RM8.00 hingga RM10.00. Kalau demam biasa, kos rawatan mungkin hanya sekitar RM20. Tetapi untuk influenza, jumlahnya boleh melambung hingga RM300, bergantung kepada keperluan ubat tambahan.
“Dalam pengalaman saya, bila anak saya (Sulaiman) dijangkiti, ubat perlu dibancuh mengikut dos yang betul. Untuk anak saya yang seberat 18kg, dosnya ialah 45mg dua kali sehari. Maka, sebagai momcist (mom + pharmacist), saya ambil tanggungjawab untuk menyediakan ubat tersebut di rumah,” ujarnya.

Freepik
Selain ubat utama influenza, pesakit mungkin juga memerlukan:
- Paracetamol– untuk mengawal suhu badan
- Ubat batuk & selesema
- Ubat gastrik
- Ubat cirit-birit
- Ubat muntah
“Kalau semuanya diperlukan, jangan terkejut jika bil perubatan mencecah RM200 hingga RM300. Bila anak sakit, memang terasa peritnya. Anak saya, Sulaiman, asyik muntah-muntah. Suami saya, Syafiq pun terkejut bila tengok jumlah ubat yang perlu diberikan,” katanya.
Influenza bukan sekadar demam biasa. Ia mudah berjangkit, terutama di tempat awam atau kawasan sesak. Jadi, jika tiada keperluan mendesak, elakkan keluar rumah. Jaga kesihatan diri dan keluarga, terutama anak-anak kecil yang lebih mudah terdedah kepada jangkitan.
Semoga perkongsian ini bermanfaat. Ambillah langkah pencegahan awal, dan jika anak menunjukkan simptom demam yang berpanjangan atau luar biasa, segeralah berjumpa doktor. Kesihatan itu mahal, dan lebih baik kita mencegah daripada merawat.
Baca juga: Cara Buat Minyak Urut Untuk Hilangkan Kebas Kaki, 2 Bahan Utama Ini Memang ‘Power’!
Sumber: Facebook
