Nampaknya musim haji 2025 telah tiba dan pihak berkuasa Arab Saudi meramalkan cuaca ekstrem dengan suhu dijangka mencecah antara 45 hingga 50 darjah Celsius di Makkah. Ini merupakan satu keadaan yang berisiko yang dapat menjejaskan kesihatan para jemaah pada kali ini.
Menurut laporan, suhu di Madinah telah pun mencapai 41 darjah Celsius, manakala di Makkah, bacaan boleh melebihi 45 darjah!
Baca juga: Checklist 32 Barang Yang Boleh Dibawa Ketika Tunaikan Haji, Tak Pening Nak Kemas Beg!
HAJI 2025: CUACA PANAS & KERING, JEMAAH DINASIHAT UNTUK KURANG MANDI

Foto hiasan.
Berdasarkan laporan dari Sinar Harian, masalah kulit merupakan antara lima jenis penyakit utama yang dialami oleh jemaah haji Malaysia yang mendapatkan rawatan perubatan di Tanah Suci setakat ini. Menurut Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd Hisham Harun, faktor cuaca yang panas dan kering serta tabiat mandi dengan kerap menjadi penyumbang utama kepada masalah ini.
“Kita menerima banyak aduan daripada jemaah yang mengalami kulit kering dan kegatalan. Ini biasanya berlaku akibat cuaca ekstrem serta mandi terlalu kerap,” katanya dalam satu sidang media di Abraj Al Janadriyah.
Beliau turut mengesyorkan agar jemaah, khususnya mereka yang menghidap diabetes, menggunakan pelembap kulit untuk mengelakkan kulit luka akibat kerap menggaru. Selain itu, beliau turut menasihatkan jemaah supaya memastikan pengambilan air mencukupi bagi mengekalkan tahap hidrasi badan dan mengelakkan mandi secara berlebihan yang boleh menyebabkan kulit menjadi semakin kering.
BUAT SENAMAN REGANGAN DALAM PENERBANGAN ELAK DARAH BEKU
Dalam pada itu, Mohd Hisham juga menegaskan pentingnya melakukan regangan ringan ketika dalam penerbangan selama sembilan jam ke Mekah sebagai langkah mencegah pembekuan darah atau deep vein thrombosis (DVT).
“Penerbangan yang panjang boleh menjejaskan aliran darah. Jika darah membeku, ia boleh menjejaskan fungsi organ. Oleh itu, lakukan senaman ringkas semasa dalam kapal terbang,” katanya lagi.
Sementara itu, Timbalan Ketua Rombongan Haji (Perubatan), Dr Hairul Izwan Abdul Rahman memaklumkan bahawa sebanyak 2,059 jemaah telah mendapatkan rawatan di pusat kesihatan di Tanah Suci sehingga hari Ahad, dengan 54 peratus daripada jumlah tersebut melibatkan jemaah lelaki.
Katanya, masalah kesihatan yang paling kerap dilaporkan adalah berkaitan sistem pernafasan seperti batuk, selesema, sakit tekak, sakit otot, dan sakit perut, namun keadaan semua jemaah yang dirawat adalah stabil.
“Jemaah dinasihatkan untuk memakai pelitup muka, terutamanya jika mengalami simptom penyakit, bagi mengelakkan penularan jangkitan dalam kalangan penghuni bilik penginapan,” katanya.
View this post on Instagram
*Semoga dipermudahkan segala urusan jemaah haji. InsyaAllah selamat pergi dan selamat pulang!
Baca juga: Musim Panas Di Mekah, Jemaah Haji WAJIB ‘Selit’ Barang Ini Elak Alami Strok Haba
Sumber: Sinar Harian, Berita Harian
