Bagi setiap ibu bapa, melihat anak mengambil bahagian dalam aktiviti sekolah merupakan detik yang amat membahagiakan, lebih-lebih lagi jika anak istimewa.
Baru-baru ini, Anie Ariff berkongsi pengalaman manis apabila anak istimewa, Muhammad Hadif, berpeluang menyertai sukan sekolah buat kali pertama, acara 50 meter.
Baca juga: Jumpa Adik-Adik Jual Lukisan RM1 Di Pasar Malam, Lelaki Ini ‘Order’ Kucing & Rumah Tanda Sokongan
ANAK ISTIMEWA DAPAT SERTAI SUKAN, GURU PIMPIN TANGAN TERIMA PUJIAN

Menurut perkongsian di aplikasi Threads, pengalaman itu bukan sahaja memberi kegembiraan kepada Muhammad Hadif, tetapi turut meninggalkan kesan mendalam kepada ibu bapa dan guru-guru yang membimbingnya.
Hadif kelihatan ceria sepanjang acara, dibimbing dengan penuh perhatian oleh guru, sambil sorakan rakan-rakan dan cikgu memanggil namanya jelas kedengaran.
“Terima kasih buat cikgu-cikgu yang bersusah payah jaga anak-anak istimewa ini. Semoga nanti anakku dapat membantu tarik tangan-tangan cikgu yang banyak membantu,” tulis Anie Ariff.
Dia juga mengucapkan terima kasih kepada semua yang memberikan kata-kata semangat kepada Muhammad Hadif, termasuk Cikgu Faiz yang membantu membimbing anaknya sehingga menamatkan acara tersebut.
“Terima kasih buat semua yang bagi kata-kata semangat buat Muhammad Hadif , ini memang pngalaman pertama dia. Saya yang tengok video ini masa cikgu kongsi, saya pun sebak dan terharu.
“Terima kasih buat Cikgu Faiz yang membantu pimpin anak saya hingga ke penamat. Semoga baik-baik sahaja untuk semua cikgu PPKI SMK Daton Onn, Batu Pahat Johor dan semua yang bergelar pendidik,” luahnya.

Pengalaman ini bukan sahaja membahagiakan Muhammad Hadif, malah turut menyentuh hati ramai warganet yang mengikuti perkongsian tersebut.
“Semoga Allah beri ganjaran yang setimpal kepada guru-guru yang menyantuni anak-anak istimewa ini. Anak saya ada rakan sekelas yang perlu berjalan menggunakan walker, tetapi untuk kemudahan dia di sekolah, walker ditinggal dalam kelas.
“Bila nak balik, anak saya dan seorang lagi rakan akan membantu kawan itu keluar kelas untuk pulang. Pengajaran yang sangat berharga untuk anak-anak,” komen warganet.
Sumber: Threads Anie Ariff
