Baru-baru ini, isu pengurusan jenazah menjadi bualan hangat selepas tular di laman Threads tentang dakwaan caj tinggi yang dikenakan oleh sebuah kariah di Kedah. Malah, solat jenazah turut dikenakan bayaran.
Difahamkan, kadar bayaran keseluruhan yang dikenakan terlalu tinggi sehingga memaksa waris si mati meminjam wang bagi menampung kos tersebut.
Baca juga: Hukum Pisahkan Ibu & Anak-Anak Selepas Cerai, Tak Siapa Boleh Ganti Kasih Sayang Ibu Kandung!
RAMAI TAK SETUJU SOLAT JENAZAH DIKENAKAN CAS

Gambar Wan Cai
Perkara itu dikongsikan oleh Pengasas Unit Khas Van Jenazah (UKVJ), Wan Cai, menerusi satu hantaran di Facebook.
Beliau menzahirkan rasa tidak bersetuju terhadap amalan mengenakan bayaran tertentu untuk solat jenazah, malah menyifatkannya sebagai tindakan yang “tak masuk akal”.
“Isu mengenai amalan pemberian upah bagi solat jenazah ini sebenarnya bukanlah perkara baharu. Ia telah beberapa kali saya bangkit dan suarakan.” katanya.
Menurutnya lagi, menetapkan bayaran untuk menunaikan solat jenazah hanya menguntungkan satu pihak, sementara pihak waris pula menanggung beban tambahan di saat berdepan kesedihan.
“Menetapkan bayaran untuk solat jenazah adalah satu perkara tak masuk akal. Ianya dilihat hanya menguntungkan satu pihak tetapi membebankan waris si mati.”
Pengurusan jenazah tanggungjawab, bukan tempat cari untung
Wan Cai menjelaskan bahawa amalan memberi upah bagi solat jenazah sudah lama berlaku di beberapa tempat, khususnya di negeri Kedah. Malah, dalam kes tular itu, didakwa RM5 dikenakan bagi setiap individu yang mendirikan solat jenazah.
Namun bagi beliau, amalan ini wajar dihentikan kerana tidak membawa manfaat serta mencemari nilai ihsan sesama umat Islam.
“Bagi saya, adat yang tidak bermanfaat harus ditinggalkan. Menguruskan jenazah seharusnya dilaksanakan atas dasar tanggungjawab dan ihsan sesama Muslim.”
Baca juga: “Tak Sanggup Saya Sakit…” Ini Hukum Buat Hubungan Intim Ketika Pasangan Tak Sihat!

Gambar Wan Cai
Hukum melaksanakan solat jenazah adalah fardu kifayah
Dari sudut hukum, jelasnya, solat jenazah merupakan fardu kifayah, iaitu kewajipan bersama umat Islam terhadap saudara seagama yang meninggal dunia. Maka, tidak wajar ia disyaratkan dengan sebarang bentuk bayaran.
“Dari sudut hukum, solat jenazah merupakan fardu kifayah yang wajib dilaksanakan oleh umat Islam terhadap saudara seagama yang meninggal dunia. Tidak seharusnya solat jenazah disyaratkan dengan bayaran tertentu”
Dalam hantaran sama, Wan Cai turut meluahkan rasa kecewa terhadap sikap segelintir pihak yang menjadikan urusan kematian sebagai peluang mencari keuntungan.
“Manusia kian kehilangan pedoman. Duit lebih penting daripada ganjaran pahala,” tulisnya.
Pandangan beliau turut disokong ramai warga maya yang bersetuju bahawa budaya memberi upah untuk sembahyang jenazah tidak wajar diteruskan. Rata-rata berpendapat, amal ibadah seperti itu sepatutnya dilakukan dengan keikhlasan, bukan kerana imbuhan.
Sumber: Mr Wan Cai Official
FT Image: Mr Wan Cai Official
